PM Anwar tegaskan mahu rakyat Myanmar diberi peluang bentuk masa depan sendiri

PM Anwar tegaskan mahu rakyat Myanmar diberi peluang bentuk masa depan sendiri

Malaysia menegaskan penyelesaian paling sesuai terhadap krisis berpanjangan di Myanmar ialah menerusi pendekatan penglibatan berkesan (effective engagement), selain memberi peluang kepada rakyat negara itu menentukan sendiri hala tuju masa depan mereka.

Bina masa depan sendiri

Memetik laporan Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyambut baik pandangan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengenai isu Myanmar yang disifatkan selari dengan pendirian Malaysia.

“Saya amat gembira mendengar pandangan Perdana Menteri Thailand mengenai Myanmar kerana Malaysia berpendapat cara terbaik untuk menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama ini adalah melalui penglibatan yang berkesan dan membenarkan rakyat Myanmar membuat keputusan untuk diri mereka sendiri.
“Thailand sebagai sahabat dan jiran penting boleh memainkan peranan yang amat signifikan dalam usaha tersebut,” katanya pada sidang akhbar bersama sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Thailand ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, hari ini.

Menurut Anwar, beliau turut menghargai usaha Menteri Luar Thailand yang mengundang semua Menteri Luar ASEAN untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai krisis Myanmar, termasuk mendapatkan pandangan daripada Menteri Luar Myanmar yang baharu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Thailand dalam memastikan keamanan di kawasan sempadan terus dipelihara.

“Kita akan terus mengadakan perbincangan dan pertukaran pandangan bagi memastikan tidak berlaku sebarang peningkatan ketegangan.
“Kita percaya kepada kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua negara untuk memastikan ASEAN terus kekal sebagai sebuah rantau yang aman, stabil dan dinamik,” jelasnya.

Sementara itu, Anutin menyatakan penghargaan terhadap peranan Malaysia sebagai fasilitator dalam proses dialog damai di selatan Thailand.

Beliau berkata, pihaknya turut menghargai jaminan tegas Anwar bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan serta akan terus bekerjasama rapat dengan Thailand bagi memastikan individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

“Kami juga berpuas hati dengan kerjasama erat antara agensi pertahanan dan keselamatan kedua-dua negara.
“Saya turut mengalu-alukan lawatan Menteri Pertahanan Thailand ke Malaysia pada minggu depan bagi memperkukuh lagi kerjasama pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua negara,” ucapnya.

Anutin berkata, Malaysia dan Thailand turut mencapai persetujuan untuk memperkukuh kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk melalui penubuhan kumpulan kerja bersama bagi menyelaras langkah keselamatan di sepanjang Sungai Golok.

Selain itu, katanya, kedua-dua negara akan mempertingkat kerjasama antara agensi berkaitan dalam pemantauan paras air serta usaha mengurangkan risiko banjir di Lembangan Sungai Golok.

Mengulas hubungan ekonomi, beliau berkata, Malaysia kekal sebagai rakan dagang terbesar Thailand dalam ASEAN dengan nilai perdagangan dua hala mencecah kira-kira AS$28 bilion.

“Kami yakin sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$30 bilion akan dapat dicapai tidak lama lagi hasil kerjasama yang sedang diperkukuhkan ketika ini.
“Jawatankuasa Perdagangan Bersama juga akan bermesyuarat bagi menetapkan sasaran perdagangan baharu yang lebih bercita-cita tinggi,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, kedua-dua negara juga komited memperkukuh rantaian nilai dan rantaian bekalan serantau dengan memanfaatkan kekuatan ekonomi masing-masing.

Pada masa sama, Malaysia dan Thailand akan memperhebat kerjasama dalam sektor pelancongan menerusi penambahbaikan aspek kesalinghubungan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan serta rakyat Malaysia atas layanan dan kebajikan yang diberikan kepada rakyat Thailand yang menetap di negara ini.

Artikel lain: Status pelarian 78 tahanan Rohingya diluluskan! 25 orang layak diambil bekerja – Saifuddin Nasution

Tambahnya, kedua-dua negara bakal meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada tahun hadapan menerusi pelbagai program dan inisiatif kerjasama, manakala semua kementerian serta agensi berkaitan akan memastikan setiap persetujuan yang dicapai diterjemahkan kepada tindakan susulan yang konkrit.

Sumber: Utusan Malaysia (Maisarah Sheikh Rahim)

Scroll to Top