Hannah harap siasatan kes Faisal Halim diteruskan

Hannah harap siasatan kes Faisal Halim diteruskan
Hannah Yeoh (kiri) melihat piala kejohanan selepas merasmikan Kejohanan ASTAF Sepaktakraw Asian Cup 2025, pada Jumaat. Foto Bernama

Hannah Yeoh (kiri) melihat piala kejohanan selepas merasmikan Kejohanan ASTAF Sepaktakraw Asian Cup 2025, pada Jumaat. Foto Bernama

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap siasatan kes simbahan asid terhadap pemain kebangsaan, Muhammad Faisal Abdul Halim diteruskan walaupun sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Beliau menyifatkan serangan terhadap tonggak Selangor FC itu sebagai jenayah berat dan menuntut agar keadilan sewajarnya ditegakkan.

“Saya ada membaca kenyataan polis yang menyebut NFA tidak bermaksud siasatan dihentikan, jadi saya lega kerana ia masih diteruskan.

“Saya harap lebih banyak usaha digerakkan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab kerana perbuatan ini tidak wajar berlaku terhadap atlet negara,” katanya pada sidang media Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan bahawa siasatan kes berkenaan masih berjalan walaupun diklasifikasikan sebagai NFA, susulan tiada kaitan antara tangkapan yang dibuat dengan bahan bukti seperti rakaman CCTV serta lakaran wajah suspek.

Dalam perkembangan berasingan, Hannah menyatakan sokongan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2026, bukan sahaja bagi acara lelaki tetapi juga acara wanita.

Katanya, PSM perlu memastikan peruntukan dan peluang turut disalurkan kepada atlet wanita.

“Saya sudah maklumkan kepada semua persatuan sukan supaya tidak bersikap pilih kasih dan memberikan pendedahan serta dana sewajarnya kepada wanita,” katanya. – Bernama

Scroll to Top