Hanya bayar RM30, pemandu komersial nikmati saringan kesihatan menyeluruh menerusi PSS

Hanya bayar RM30, pemandu komersial nikmati saringan kesihatan menyeluruh menerusi PSS

KUALA LUMPUR – Pemandu komersial berusia 40 tahun ke atas kini hanya perlu membayar RM30 untuk menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh menerusi pelaksanaan Program Pemandu Sihat dan Selamat (PSS) yang diperkenalkan kerajaan bagi mengesan lebih awal masalah kesihatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, untuk tahun pertama pelaksanaan, program itu dilaksanakan secara bayaran bersama (co-payment) dengan pemandu hanya perlu membayar RM30, manakala baki kos sebanyak RM55 ditanggung oleh kerajaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menurut beliau, program itu terbuka kepada warganegara Malaysia berumur antara 40 hingga 59 tahun yang merupakan pencarum aktif di bawah Skim Lindung Pekerja atau Lindung Kendiri serta memiliki lesen vokasional PSV E (Bas), GDL E (Kejur) atau GDL E (Bersendi).

“Faktor kesihatan seperti keletihan, mengantuk, tekanan kerja serta penyakit tidak berjangkit (NCD) dikenal pasti antara penyumbang utama kepada risiko kemalangan jalan raya melibatkan pemandu komersial.

“Sehubungan itu, saringan kesihatan yang menjadi instrumen utama program ini dipermudah kepada pemandu yang memiliki Lesen Kenderaan Barangan (Lesen Kelas GDL E (Kejur/Bersendi)) dan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (Lesen PSV E (Bas)) bagi memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, PSS diperkenalkan melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pengangkutan (MOT), PERKESO, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Beliau berkata, pelaksanaan pendekatan proaktif itu disifatkan tepat pada masanya memandangkan angka korban membabitkan pekerja dalam kemalangan jalan raya meningkat 22.3 peratus kepada 115 kes pada tahun lalu berbanding 94 kes pada 2024.

Katanya, statistik PERKESO itu merangkumi pelbagai kategori pekerja yang sebahagian besar tugas mereka memerlukan komitmen perjalanan menggunakan jalan raya seperti pemandu lori, bas, van, kereta dan motosikal.

“Secara perbandingan daripada keseluruhan angka kematian, pemandu lori dikenal pasti merekodkan kadar tertinggi iaitu 62 kes atau 21 peratus.

“Justeru, saringan kesihatan yang akan dilaksanakan merangkumi pemeriksaan fizikal, penglihatan dan pendengaran, saringan gangguan tidur seperti Obstructive Sleep Apnea (OSA), penilaian sistem kardiovaskular, respiratori, neurologi dan muskuloskeletal serta ujian HbA1c bagi pemandu yang mempunyai rekod diabetes,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelaksanaan program itu merupakan langkah intervensi awal yang penting bagi membantu mengenal pasti tahap kesihatan pemandu secara lebih menyeluruh, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam kenyataan bersama itu, inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kesejahteraan pekerja terus diberi perhatian secara holistik, selain memperkukuh budaya keselamatan dalam sektor pengangkutan.

MOT turut komited untuk terus memperkukuh aspek keselamatan jalan raya melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Katanya, PSS bukan sahaja memberi fokus kepada tahap kesihatan pemandu komersial, malah menjadi langkah penting dalam memastikan sistem pengangkutan negara lebih selamat, mampan dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Scroll to Top