Hanya satu kluster Covid-19; kluster aktif menurun – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 1.2 peratus bersamaan 36 kes daripada 2,888 kes positif harian Covid-19, hari ini yang melibatkan kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya, 2,852 kes iaitu 98.8 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya, kes positif menunjukkan penurunan berbanding semalam, 3,251 kes sekali gus mengatasi kes sembuh yang mencatatkan 2,714 kes.

“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 248 kes berbanding semalam, 243 kes.

“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut merekodkan peningkatan iaitu 117 kes berbanding semalam, 113 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, satu kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,159 kluster.

“Sebanyak 172 kluster aktif direkodkan yang terus menunjukkan penurunan berbanding semalam, 176 kluster.

“Jumlah kluster tamat sebanyak 5,987 kluster berbanding semalam, 5,982 kluster,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menunjukkan penurunan apabila mencatatkan sebanyak 11 kes, berbanding semalam, 16 kes.

Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,655 kes.

Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak dua daripada 11 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,386 kes.