am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Sweet Qismina meluahkan rasa syukur kerana dirinya tidak terkena ‘badi anugerah’ yang sering menghantui pemenang selepas dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) pada tahun lalu.
Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, 29, yang memenangi anugerah itu menerusi filem Babah, berkata, tawaran berlakon juga tidak putus diterimanya dari penerbit dan pengarah filem serta drama, ketika ini.
“Alhamdulillah, setakat ini, rezeki dalam bidang lakonan tidak putus diterima selepas setahun saya menang anugerah itu.
“Saya juga tak ada pula rasa macam terkena badi anugerah seperti tanggapan orang atau tidak dapat tawaran berlakon ketika ini,” kata Sweet ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen KLFW X Tomei Collection bersempena Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, di sini, petang semalam.
Mengulas lanjut, kata Sweet, apa yang membimbangkannya ialah jika penerbit dan pengarah tidak yakin dengan kemampuannya untuk berikan kualiti lakonan lebih baik lagi selepas memenangi anugerah terbabit.
“Saya bukan takut tak dapat tawaran berlakon tapi takut kalau orang tak yakin dengan kemampuan saya lepas dapat anugerah itu, contohnya, saya takut orang kata macam ‘awak mesti boleh buat lebih daripada itu’.
“Jadi ia beri satu tekanan pada diri kita. Saya takut benda-benda macam itu lah. Tapi setakat ini, semua tawaran yang datang beri kata-kata yang positif. Semua cakap, saya boleh buat dan perkara itu buat kita rasa okay dan mesti bekerja keras,” katanya.
Ditanya sama ada dia meletakkan penanda aras watak atau naskhah selepas menang anugerah, kata Sweet, pada mulanya, dia berasa risau kerana dua sebab sama ada akan dapat tawaran yang lebih baik ataupun naskhah yang biasa tapi boleh bawa ke satu tahap yang lebih tinggi atau tidak?
“Tapi, saya bersyukur sebab semua tawaran berlakon yang datang dari pihak produksi, mereka bagi pandangan yang sangat baik untuk saya di mana mereka percaya dengan apa yang saya akan lakukan.
“Jadi perkara itu sebenarnya satu benda yang baik untuk saya sebab dulu mungkin orang rasa macam kau boleh tak bawa watak ini? Tapi sekarang, mereka cakap saya mesti boleh buat watak ditawarkan itu.
“Walaupun kita tak yakin tapi bila mereka cakap saya mesti boleh buat, ia buat kita rasa takut tapi pada masa sama bersyukur sebab mendapat kepercayaan dari ramai orang,” kata isteri kepada pelakon, Adam Lee itu.
Kata Sweet lagi, apa yang penting orang sudah mula nampak dan membuka mata pada bakat lakonannya selepas menang anugerah terbabit.
“Jadi, ia menjadi satu tanggungjawab yang besar untuk saya sekarang kerana apa sahaja tawaran dan karakter yang saya dapat, saya kena kupaskan lagi dan cuba buat yang lebih baik dari itu,” katanya.
Mengenai projek drama pula, kata Sweet, dia juga tidak meletakkan dirinya hanya berlakon projek filem sahaja selepas menang anugerah.
“Bagi saya, selagi ada rezeki di mana-mana termasuk di platform digital untuk projek filem atau drama, saya akan terima,” katanya yang bakal terbabit dalam projek drama bersiri sebanyak 60 episod berjudul Nursing Our Love untuk saluran Astro,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




