Hanya sekali arwah isteri Harun datang dalam mimpi

Hanya sekali arwah isteri Harun datang dalam mimpi

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Harun Hashim pernah bermimpikan Allahyarham isterinya, Sakinah Ganjali, namun hanya sekali saja sejak pemergiannya enam bulan lalu.

Harun berkata, walaupun singkat, mimpi itu meninggalkan kesan mendalam.

“Selama arwah pergi, saya baru mimpikan dia sekali saja. Itupun saya tidak nampak wajahnya, hanya dari belakang. Waktu itu dia memakai kain berwarna hijau.

“Saya nak dia masuk dalam mimpi saya. Hanya orang gila saja yang tidak mahu,” katanya.

Menurut Harun, dia akur dengan takdir kehilangan isteri tercinta yang meninggal dunia akibat kanser payu dara, namun tidak menafikan kerinduan itu tetap kekal dalam hatinya.

Bagi Harun, meskipun perit dan sukar dilalui pada awalnya, dia sedar tangisan tidak mampu menghidupkan kembali insan yang sudah pergi.

“Saya reda sebab kalau saya menjerit pun saya tahu dia tidak akan hidup semula. Apa yang saya mampu buat untuk hilangkan kesedihan adalah sentiasa mengingati kenangan manis bersamanya.

“Jujurnya, bila tinggal sendirian, ada kebimbangan akan mati sendirian. Saya paling takut orang jumpa saya dalam keadaan sudah berulat,” katanya.

Pada 21 November lalu, Sakinah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akibat kanser payudara tahap empat pada usia 48 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top