Umum sedia maklum, penyanyi dan pelakon, Cat Farish mempunyai hubungan istimewa bersama kakak kepada pelakon terkenal, Emma Maembong iaitu Shikin Maembong.
Malah, hubungan mereka juga seakan bakal berakhir dengan ikatan sebuah perkahwinan tidak lama lagi seperti mana bayangan ditinggalkan oleh Cat menerusi hantaran Instagram.
Terbaharu, hantaran dikongsikan oleh Cat atau nama sebenarnya Farish Ramli menarik perhatian warganet apabila dia menitipkan ucapan istimewa bersempena ulang tahun kelahiran buat hatinya.
Dalam hantaran itu, penyanyi berusia 48 tahun mengucapkan terima kasih kepada Shikin kerana sudi hadir dalam perjalanan hidupnya yang kucar-kacir pada ketika itu.
“Hari ini hari lahir untuk insan yang menyokong dan membantu perjalanan hidup abang Cat kucar-kacir.
“Hadiah istimew untuk hari lahirnya bukanlah hebat untuk mata-mata memandang. Hari lahir Shikin Maembong disertakan doa untuk khas buat awak dan semua yang membacanya, aminkan doa kami,”tulisnya.
Cat yang juga anggota asal kumpulan Ruffedge mendoakan dirinya dikurniakan seorang wanita yang terbaik untuk dilamar dan dijadikan pasangan sehidup semati.
“Ya Allah, berikanlah kepada ku isteri terbaik dari sisi-Mu, isteri aku lamar dan nikahi dan isteri yang menjadi sahabatku dalam urusan agama, urusan dunia serta akhirat.
“Ibu kepada anak-anakku dan aku menjadi bapa kepada anaknya. Amin,”titipnya lagi.
Sekadar info, Cat Farish mendirikan rumah tangga bersama Suriani Hasaan pada November 2020 namun bercerai pada Januari lalu tanpa zuriat.
Malah, Cat Farish pernah membina mahligai dengan Hartiny Ramli pada 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata tetapi turut berakhir dengan perpisahan.
Sementara itu, Shikin Maembong pernah berkahwin dengan anak Datuk Redzuawan Ismal iaitu Chef Riz pada 5 Disember 2014 dan memiliki seorang cahaya mata. Pun begitu, mereka telah bercerai pada 2016.
Shikin Maembong telah berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020 tetapi rumah tangga itu tidak bertahan dan terlerai selepas dua tahun.
Sumber: Instagram @catfarish