Harap Kemelut Perkahwinan Berakhir Tanpa Sengketa, Hafiz Suip Mahu Berpisah Cara Baik

Harap Kemelut Perkahwinan Berakhir Tanpa Sengketa, Hafiz Suip Mahu Berpisah Cara Baik

Penyanyi Hafiz Suip enggan memberi komen panjang mengenai situasi rumah tangganya bersama isteri, Nureffy Jasreel Abdullah yang kini dalam proses perceraian.

Hafiz memilih untuk memberi fokus sepenuhnya kepada persiapannya bagi Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Buat masa ini, saya mahu tumpukan perhatian kepada AJL39. Saya bimbang jika terlalu memikirkan isu peribadi, ia akan mengganggu fokus saya.

“Apa yang boleh saya kongsikan ialah kami sedang menunggu proses berkaitan mahkamah. Saya berdoa agar segalanya berjalan lancar, tanpa persengketaan dan sekiranya berpisah, biarlah secara baik,” katanya.

Bakal bertanding di AJL39 menerusi lagu Terus Bersinar, Hafiz menerima ujian ini dengan hati terbuka, walaupun ia merupakan situasi yang sukar.

“Saya masih seorang suami, tetapi kami tidak lagi tinggal sebumbung dan kini dalam proses untuk berpisah. Ini adalah ujian berat, tetapi saya belajar untuk bersyukur dalam apa jua keadaan.

“Walau apa pun dugaan, kita perlu bersyukur atas apa yang Allah tetapkan. Saya harap orang ramai yang menyayangi saya, termasuk peminat, mendoakan yang terbaik untuk saya,” katanya kepada XTRA.

Hafiz ditemui di acara Mega Live AJL39 di Tanamekar The Hill, Petaling Jaya, pada Sabtu.

Pelantun lagu Bahagiamu Deritaku ini turut mengaku bahawa anak-anaknya akan merasai kesan daripada perpisahan ini, namun dia berjanji untuk terus menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.

“Saya tahu ramai yang mengatakan anak-anak akan terkesan, dan saya tidak menafikannya. Tetapi saya perlu berani menghadapi situasi ini dan menerima realiti.

“Saya sudah memberitahu mereka tentang perkara ini kerana lambat-laun mereka akan tahu. Saya hanya berharap mereka memahami keadaan ini dan diberi kekuatan.

“Saya mahu anak-anak tahu bahawa saya tetap menyayangi mereka sepenuh hati. Apa sahaja yang berlaku, saya akan sentiasa ada untuk mereka,” jelasnya.

Apabila ditanya bagaimana dia menenangkan diri, Hafiz berkata dia mencari ketenangan dengan mendekati orang-orang yang membawa pengaruh positif dalam hidupnya.

“Saya memilih untuk bersama dengan mereka yang menyayangi saya. Jika ada orang yang sudah tidak menyayangi kita, tidak perlu kita kejar atau memaksa mereka.

“Saya sentiasa cuba positifkan diri dan bersyukur kerana masih ada ibu, ayah, keluarga, serta rakan-rakan di sisi saya. Selain itu, saya lebih mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.

Sebelum ini, menerusi temu bual bersama Melodi TV3, Hafiz mengesahkan bahawa dia dan isteri tidak lagi tinggal sebumbung dan kini berbincang mengenai hak penjagaan anak.

Hafiz dan Nureffy mendirikan rumah tangga pada 16 Mei 2016 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5.

Scroll to Top