Harap kes bunuh Bella dipercepatkan – kakak

Harap kes bunuh Bella dipercepatkan – kakak

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Keluarga kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah, wanita yang dibunuh teman lelaki Disember lalu berharap kes pembunuhan itu dipercepatkan dan dipindah ke Mahkamah Tinggi Muar.

Kakaknya, Norhisham atau panggilan Ayu, 36, berkata, ini kerana kes terbabit sudah lama berlarutan dan perlu disegerakan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

“Kalau jangan ada tertangguh lagi kes ini, kita tunggu Bella daripada mula-mula dia hilang sampai sekarang.

“Jadi, kami berharap pihak berkenaan dapat mempercepatkan kes ini. Kami ada dimaklumkan peguam mengenai tarikh baru sebutan semula kes pembunuhan Bella dan kita harap semua berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di luar Kompleks Mahkamah Batu Pahat, hari ini.

Dalam pada itu, ayu ketika ditanya mengenai usaha mencari sebahagian rangka Bella yang dilaporkan hilang berkata, mereka sekeluarga masih menunggu keputusan pihak berkenaan untuk melakukan pencarian itu.

Katanya, buat masa itu, semua permohonan sudah dikemukakan kepada pihak berkenaan bagi mendapatkan kelulusan.

Pada 26 Januari lalu, Ayu menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, hati mereka sekeluarga hancur apabila melihat keadaan Bella ketika memandikan jenazah adiknya di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Ketika itu, dia bersama ibunya, Noraini Salleh, 55, hanya mampu menitiskan air mata apabila jenazah Bella dimandi dan dikafankan tanpa kedua-dua kaki dan tangan.

Ketika rangka Bella ditemui dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah pada pagi Jumaat 19 Disember lalu, polis memaklumkan ia dalam keadaan tidak sempurna.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top