kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Harvey Norman melebarkan lagi rangkaiannya di Malaysia dengan memperkenalkan cawangan ke-37 di 168 Park Mall bagi memberi lebih banyak pilihan produk kelengkapan kediaman kepada masyarakat sekitar pada harga kompetitif.
Ketua Pegawai Operasi Harvey Norman Malaysia, Jonathan Toh berkata, terletak secara strategik di Selayang untuk berkhidmat kepada komuniti kediaman dan komersial, cawangan baharu itu dapat memenuhi keperluan golongan muda bekerja dan keluarga yang mencari pengalaman gaya hidup berkualiti.
Katanya, Harvey Norman di 168 Park Mall adalah bukti dedikasi syarikat untuk menyediakan penyelesaian moden, mudah diakses dan inovatif untuk rakyat Malaysia.
“Kedai konsep 2-dalam-1 ini menunjukkan komitmen kami untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan penyelesaian teknologi dan rumah yang terbaik.
“Pemilihan lokasi juga memainkan peranan penting dan 168 Park Mall ini strategik kerana Selayang adalah kawasan yang semakin berkembang selain dikelilingi perumahan serta hab komersil,” katanya kepada media di majlis perasmian cawangan Harvey Norman ke-37 di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Elektrikal Harvey Norman, Ian Bushy Martin dan Ketua Pegawai Eksekutif Lot168 Selayang Sdn Bhd, Edward Lum.
Jonathan berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan Harvey Norman di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, sempena pembukaan besar itu, Harvey Norman 168 Park Mall menawarkan promosi hebat bermula dari 17 hingga 19 Januari ini dan pelanggan juga boleh menyertai Cabutan Bertuah RM1 yang menampilkan hadiah seperti televisyen skrin besar dan telefon pintar serta hadiah lain yang dijamin apabila memenuhi kriteria perbelanjaan minimum.
Lebih daripada sekadar ruang runcit, kedai baharu itu merangkumi visi Harvey Norman untuk memupuk hubungan komuniti dan menyampaikan pengalaman pelanggan yang luar biasa.
Harvey Norman turut menyediakan pilihan pembayaran yang fleksibel, termasuk ansuran sehingga 60 bulan dan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) menjadikannya lebih mudah diakses dari segi kewangan untuk pembeli.
Memandangkan Harvey Norman meneruskan pengembangannya di seluruh Malaysia, jenama itu kekal teguh dalam misinya untuk menyampaikan produk berkualiti dan perkhidmatan pelanggan yang luar biasa dan cawangan baru di 168 Park Mall ini turut menawarkan penyelesaian inovatif untuk kehidupan moden sambil mewujudkan persekitaran selesa membeli-belah dan memenuhi gaya hidup masyarakat Malaysia yang semakin berkembang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




