London: Ayden Heaven yakin Manchester United berada di landasan tepat untuk kembali ke pentas Eropah selepas menang 4-1 ke atas Wolves.
Kemenangan di Molineux itu menyaksikan skuad kendalian Ruben Amorim kini hanya satu mata di luar kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris, sekali gus kembali bersaing merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan.
United bangkit selepas seri mengecewakan menentang West Ham minggu lalu apabila Bruno Fernandes meledak dua gol, disusuli jaringan Bryan Mbeumo dan Mason Mount.
Wolves yang berada di kedudukan tercorot hanya sempat menyamakan kedudukan seketika menerusi Jean Ricner Bellegarde, gol pertama kelab itu dalam liga sejak 26 Oktober.
Musim lalu, United menamatkan kempen di tangga ke-15, kedudukan liga terburuk mereka dalam 51 tahun, selain terlepas tiket Eropah selepas tewas final Liga Europa kepada Tottenham.
Namun ketiadaan aksi Eropah musim ini mungkin menjadi peluang terbaik untuk kelab kembali dibina semula di bawah Amorim. Heaven, pertahanan muda United, berkata: “Kami kehilangan mata dalam perlawanan sebelum ini (menentang West Ham) dan ini peluang untuk tebus. Saya rasa kami berjaya, terutama pada babak kedua.
“Kami tahu bolos itu tidak cukup baik. Di bilik persalinan, jurulatih hanya pesan supaya kami buat apa yang kami mampu, dan itulah yang kami tunjukkan.”
Satu-satunya kekalahan United dalam sembilan perlawanan terakhir ialah tumbang mengejut 0-1 kepada Everton yang beraksi 10 orang di Old Trafford. Heaven yang semakin yakin selepas aksi menentang Wolves berkata: “Saya rasa tak ada siapa boleh hentikan kami kalau kami bermain seperti ini.”
Ditanya mengenai peluang kembali ke pentas Eropah, Heaven yang berusia 19 tahun itu menjawab: “Harapnya kami boleh kembali beraksi di Eropah musim depan, dan saya rasa kami boleh. Itulah tempat Manchester United sepatutnya berada.”
Heaven membuat penampilan kedua berturut-turut selepas Harry Maguire dan Matthijs de Ligt mengalami kecederaan, dengan Amorim terus mengekalkan pemain muda itu dalam pertahanan selepas seri 1-1 dengan West Ham.
“Dia sangat mempercayai saya,” kata Heaven mengenai Amorim.
“Saya bekerja keras setiap hari dan saya rasa saya tunjuk saya layak diberi kepercayaan.”
United akan bertemu Bournemouth di Old Trafford pada Isnin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




