KUANTAN – Dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri menerima dana asing untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak harus dijadikan alasan untuk memusuhi gerakan masyarakat sivil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, budaya melabel dan mengintimidasi NGO susulan dakwaan terhadap Mandiri itu perlu dihentikan.
Menurutnya, fokus utama pihak berkuasa seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh demokrasi serta menyiasat isu-isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang lebih besar kepentingannya kepada rakyat.
“Kerajaan juga perlu bersikap lebih terbuka menerima pandangan kritikal dan melakukan muhasabah bagi memperbaiki kelemahan institusi negara.
“Dalam sistem demokrasi, kerajaan bukan institusi yang kebal daripada kritikan atau pertikaian sebaliknya perlu memastikan pentadbiran terus relevan dengan kehendak rakyat, bukan mengambil pendekatan memusuhi pihak yang berbeza pandangan,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.
Tegas Chun Kuang, permohonan geran oleh NGO, sama ada dari dalam atau luar negara, merupakan perkara biasa dalam masyarakat sivil antarabangsa selagi ia mematuhi undang-undang melalui proses kewangan yang telus dan diaudit mengikut prosedur.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) sendiri ketika berada di blok pembangkang sebelum ini pernah berhadapan pelbagai dakwaan berkaitan penerimaan dana asing termasuk dikaitkan dengan Open Society Institute (OSI) dan National Democratic Institute (NDI).
“Begitu juga Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada masa itu sering dikaitkan dengan pembangkang dan turut menjadi sasaran tuduhan serupa.
“Jadi tidak wajar hari ini ada pihak yang mengambil pendekatan berbeza hanya kerana kedudukan politik telah berubah. Pendekatan dua piawaian seperti ini harus dielakkan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, ramai pimpinan kerajaan hari ini sendiri pernah melalui pengalaman dituduh pelbagai perkara ketika berada di pihak pembangkang.
“Oleh itu, saya percaya pemimpin seperti Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Abdul Munim seharusnya memahami realiti perjuangan masyarakat sivil dan gerakan reformasi yang pernah dilalui sebelum ini.
“Nilai sejagat seperti demokrasi, hak asasi manusia, keadilan sosial dan usaha membanteras rasuah merupakan agenda universal yang diperjuangkan masyarakat antarabangsa tanpa mengira sempadan kewarganegaraan dan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman,” tegasnya.
Ujar beliau lagi, pihak berkuasa perlu memberi tumpuan kepada siasatan terhadap isu-isu yang lebih besar.
Sebelum ini, AMK menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan Mandiri menerima dana asing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dan menggugat kestabilan politik negara.
Kamil Munim dalam kenyataannya mendakwa terdapat laporan Mandiri menerima dana berjumlah RM1.5 juta daripada pertubuhan berhaluan kiri di Amerika Syarikat, The Tides Foundation.
Menurutnya terdapat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 dibuat kepada pengarah eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan kumpulan itu antara 2024 hingga 2025.
Mandiri bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut apabila Amir Hariri melihat tuduhan itu bersifat politik dan bertujuan menyerang organisasi anak muda yang lantang menyuarakan pelbagai isu termasuk berkaitan korupsi.



