Heroin, pil yaba bernilai RM49 juta dirampas

Heroin, pil yaba bernilai RM49 juta dirampas

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis Kelantan menggagalkan kegiatan penyeludupan dadah selepas merampas 5.59 juta biji atau 652.4 kilogram (kg) pil yaba dan 2.6 kg dadah jenis heroin bernilai RM49.17 juta di Jalan Pasir Mas-Salor, di sini, minggu lalu.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan di sebuah rumah jam 9.05 malam Isnin minggu lalu itu turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin, berkata serbuan dilakukan hasil risikan yang dilakukan pihaknya selain maklumat awam.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek lelaki yang berperanan sebagai penghantar dadah berada dalam rumah berkenaan sebelum polis menemui sejumlah dadah yang diletakkan di ruang tamu rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 5.59 biji atau 652.4 kg pil yaba dan 2.6 heroin yang dianggarkan bernilai RM49 juta.

“Kita turut menyita sebuah Perodua Myvi dan sebuah motosikal yang dianggarkan bernilai RM61,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan sindiket berkenaan adalah mengambil bekalan dadah dari negara jiran sebelum ditransit di rumah terbabit.

“Bekalan terbabit kemudiannya akan dihantar oleh penghantar dengan bayaran upah RM100 bagi satu pek dadah yang mengandungi 2,000 biji pil yaba.

“Kita percaya bekalan dadah terbabit baru disimpan di rumah berkenaan dalam tempoh seminggu sebelum diserbu pihak berkuasa.

“Siasatan kita juga mendapati rumah terbabit disewa sejak 2022 namun aktiviti pengedaran dadah baru dikesan sejak Jun lalu,” katanya.

Katanya, pihaknya juga percaya bekalan dadah terbabit untuk pasaran di Pantai Timur dan bekalan terbabit boleh digunakan seramai 6.78 juta penagih sekiranya terlepas.

“Rampasan dadah membabitkan pil kuda ini adalah yang terbesar setakat ini dan kawalan sempadan sentiasa ditingkatkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan reman seminggu. Suspek juga positif dadah jenis Benzo selain mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Siasatan lanjut bagi mengesan dalang sindiket terbabit masih dijalankan dan kita juga sudah mengenal pasti beberapa individu yang juga ahli sindiket berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top