khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas membuat diagnosis dan mengetahui mempunyai Gangguan Spektrum Autisme (ASD) atau autisme serta Gangguan Hiperaktif Defisit Tumpuan (ADHD) pada usia 32 tahun, kehidupan seorang suri rumah bertambah baik bersama keluarganya.
Nur Hana Liyana Yusli, 33, berkata, sebelum ini kehidupan hariannya bersama pasangan sering kali berlaku salah faham kerana kecelaruan emosi yang berlaku disebabkan autisme dan ADHD yang tidak didiagnosis.
“Autisme ini terjawab persoalan kenapa cara saya berfikir lain sedikit. Macam terkejut (dapat tahu keputusannya) sebab rupanya cara saya berfikir itu disebabkan ADHD, sedangkan saya ingatkan perkara itu normal.
“Sebelum melakukan diagnosis, berlaku banyak salah faham antara pasangan disebabkan autisme ini (kerana) ada kecelaruan emosi, perkara macam itu sering kali terjadi.
“Tetapi selepas diagnosis, kita sudah tahu perkara itu dan macam mana nak menguruskannya,” katanya kepada Harian Metro.
Menceritakan lebih lanjut, Nur Hana yang tinggal di Jerantut, Pahang berkata, suaminya juga memberikan sepenuh sokongan untuknya membuat diagnosis bagi mengetahui sama ada mempunyai autisme dan ADHD.
“Sepatutnya saya pergi sebelum ini bukan untuk diagnosis autisme, tetapi nak jumpa pakar bagi melakukan saringan kesihatan mental kerana saya ada verbal shut down (tindak balas diam secara lisan).
“Maksudnya saya akan senyap berhari-hari, saya tak boleh nak bercakap walaupun suami tanya, saya kena duduk di dalam bilik gelap.
“Suami pun cakap perkara ini bukan normal, jadi saya membuat keputusan untuk jumpa pakar disebabkan ia menjejaskan hubungan (dengan suami) berhari-hari,” katanya.
Pada masa sama, Nur Hana memaklumkan dua anak perempuannya turut mempunyai tanda atau ciri-ciri autisme dan ADHD.
“Anak berusia tujuh tahun ada ciri-ciri autisme, manakala yang berusia empat tahun pula ada simptom ADHD, tapi (kami) masih memantau lagi kerana ADHD boleh didiagnosis pada usia tujuh tahun sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Nur Hana juga berpandangan golongan dewasa yang mempunyai tanda dan ciri-ciri autisme atau ADHD perlu melakukan diagnosis.
“Kalau mereka rasa perlukan bantuan dan sokongan, mereka memang perlukan diagnosis. Itu sahaja cara untuk mereka tahu apa bantuan yang diperlukan.
“Ini disebabkan daripada diagnosis ini, kita tahu peringkat autisme atau ADHD sama ada teruk, sederhana atau ringan. Kalau tak tahu, kita pun tak tahu macam mana nak dapatkan bantuan daripada orang.
“Kadang kala orang (lain) takkan percaya kalau kita sendiri diagnosis, mereka akan ingat kita ini memandai. Kalau perkara itu daripada pakar, mungkin mereka mendengar apa yang kita perlukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




