Hizbullah sedia bertindak balas atas pelanggaran gencatan senjata Israel

Hizbullah sedia bertindak balas atas pelanggaran gencatan senjata Israel

BEIRUT – Setiausaha Agung Hizbullah Naim Qassem pada Sabtu berkata kumpulan itu akan kekal ditempatkan di lapangan dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel, lapor Anadolu Ajansi.

“Pejuang penentangan akan terus berada di lapangan, dengan jari pada picu, dan akan bertindak balas terhadap pelanggaran pencerobohan dengan sewajarnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa gencatan senjata itu “bermaksud penghentian sepenuhnya semua tindakan bermusuhan”, sambil menambah bahawa Hizbullah tidak mempercayai Israel dan akan terus mengekalkan kesiapsiagaan di lapangan.

“Tiada gencatan senjata yang hanya dipatuhi sebelah pihak. Ia mesti dipatuhi oleh kedua-dua pihak,” katanya.

Qassem turut berterima kasih kepada Iran yang memberi sokongan dan bantuan serta secara jelas mengaitkan gencatan senjata yang dicapai dengan AS dalam rundingan di Pakistan dengan gencatan senjata di Lubnan.

Beliau mendakwa Washington telah “menentukan” teks perjanjian gencatan senjata itu kepada kerajaan Lubnan, merujuk kepada kenyataan AS yang dikeluarkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa.

“Kenyataan itu tidak membawa sebarang makna dari segi pelaksanaan, namun ia merupakan satu penghinaan terhadap negara kami,” katanya, dan berhujah bahawa kerajaan Lubnan belum meluluskan teks itu secara rasmi.

Mengenai langkah seterusnya, Qassem menggariskan lima tuntutan termasuk “penghentian pencerobohan di seluruh Lubnan melalui udara, darat dan laut”, serta pengunduran penuh Israel dari kawasan yang diduduki hingga ke sempadan.

Beliau berkata tuntutan itu turut merangkumi pembebasan tahanan, kepulangan penduduk ke bandar dan kampung masing-masing, serta usaha pembinaan semula dengan sokongan negara Arab dan masyarakat antarabangsa.

Dari sudut politik, Qassem berkata Hizbullah terbuka kepada kerjasama dengan pihak berkuasa Lubnan dalam kerangka perpaduan nasional dan kedaulatan negara.

Presiden AS Donald Trump pada Jumaat turut berkata Washington sedang giat menghalang Israel daripada melancarkan serangan tambahan ke atas Lubnan ketika gencatan senjata yang baharu mula berkuat kuasa.

Trump pada Khamis mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di Lubnan bermula tengah malam waktu tempatan di Tel Aviv dan Beirut.

Kementerian Kesihatan Lubnan pada Jumaat memaklumkan jumlah korban akibat serangan Israel ke atas Lubnan sejak 2 Mac meningkat kepada 2,294 orang, manakala 7,544 lagi cedera. – Bernama

 

 

 

 

 

Scroll to Top