lizamridzuan@hmetro.com.my
Selepas enam tahun, Honda PCX kembali ke pasaran Malaysia menerusi pelancaran All-New Honda PCX160 oleh Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) dengan harga RM12,998.
Skuter itu tampil dengan reka bentuk lebih moden dan elegan selain dilengkapi Honda RoadSync menerusi meter TFT lima inci untuk mengakses navigasi, panggilan telefon, muzik dan notifikasi mesej.
Daripada segi keselamatan, PCX160 dilengkapi Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan sistem brek Anti-lock Braking System (ABS) bagi meningkatkan kawalan ketika menunggang.
Untuk kegunaan harian, model itu menawarkan ruang simpanan 30 liter, Honda Smart Key, port pengecasan USB Type-C serta lampu LED penuh.
PCX160 turut diperakui sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan penggunaan bahan api sehingga 2.3 liter bagi setiap 100 kilometer dan jarak perjalanan kira-kira 350 kilometer menerusi tangki 8.1 liter.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano, berkata model baharu itu memenuhi keperluan penunggang masa kini yang mengutamakan teknologi dan praktikaliti.
“Kami tahu ramai penunggang menantikan kepulangan PCX160 yang menawarkan teknologi dan keselesaan untuk kegunaan harian, sambil mengekalkan reka bentuk elegannya,” katanya.
BSH turut menawarkan jaminan tambahan setahun kepada pemilik Honda PCX150 yang menukar beli motosikal mereka untuk menaik taraf kepada PCX160 menerusi program Honda X-Tend Warranty. Tawaran itu sah sehingga 31 Disember 2026.
Ditawarkan dalam warna kelabu dan putih, PCX160 ditawarkan pada harga RM12,998 itu (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar dua tahun atau 20,000 kilometer, mengikut mana-mana yang terdahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




