news@nst.com.my
Machang: Kemunculan dadah sintetik jenis baharu yang boleh mengubah tingkah laku penggunanya secara drastik sehingga kelihatan seperti ‘zombi’ semakin membimbangkan, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, terdapat kes individu membunuh pasangan, ibu bapa dan rakan sendiri dengan pengambilan dadah jenis itu, sekali gus menunjukkan kaitan yang jelas dengan kejadian keganasan berkenaan.
“Jika kita melihat kes-kes ini, semuanya mempunyai kaitan rapat dengan pengambilan dadah. Kaitannya sangat jelas,” katanya kepada pemberita hari ini.
Saifuddin berkata, corak pengambilan dadah juga berbeza mengikut wilayah dengan dadah sintetik lebih berleluasa di Pantai Timur, manakala penyalahgunaan dadah di Pantai Barat pula membabitkan campuran pelbagai jenis bahan terlarang.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengambilan dadah sintetik kekal tinggi di seluruh negara dengan sebahagiannya disebabkan bahan berkenaan lebih mudah diperoleh.
“Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai tiga fungsi utama iaitu pendidikan dan pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan di pusat-pusat rawatannya.
“Antara tanggungjawab AADK ialah mendidik masyarakat dan meningkatkan kesedaran bagi menggalakkan tindakan pencegahan, khususnya dalam kalangan ibu bapa,” katanya.
Mengulas mengenai 224 kawasan panas pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikenal pasti Jabatan Imigresen di seluruh negara, Saifuddin berkata, lokasi itu dipetakan berdasarkan data dikumpulkan menerusi operasi penguatkuasaan secara berterusan.
Katanya, data itu membolehkan jabatan berkenaan mengenal pasti kawasan yang sering didiami, menjadi tempat persinggahan atau lokasi perhimpunan warga asing.
“Angka itu berdasarkan data yang disahkan dan dikumpulkan Jabatan Imigresen, sebelum kawasan panas di seluruh negara dikenal pasti menerusi pemetaan,” katanya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan di lokasi berkenaan lazimnya menemukan empat kategori warga asing.
“Kategori pertama membabitkan mereka yang memasuki Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan atau Imigresen, manakala kategori kedua terdiri mereka yang pasnya sudah tamat tempoh.
“Kategori ketiga membabitkan warga asing yang memiliki pas sah, termasuk pas kerja atau pelajar, tetapi menyalahgunakannya.
“Kategori keempat pula terdiri individu yang diklasifikasikan sebagai pelarian,” katanya.
Saifuddin berkata, Jabatan Imigresen akan melakukan pemprofilan terhadap individu yang ditemui dalam operasi bagi menentukan status masing-masing sambil menambah setiap kategori warga asing memerlukan pendekatan berbeza.
“Kawasan panas yang dikenal pasti itu adalah lokasi yang secara konsisten membuahkan hasil ketara dalam operasi penguatkuasaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




