am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Penutupan semua institusi pendidikan di Johor dilanjutkan selama lima hari lagi bermula 19 hingga 23 Oktober ini, susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang masih berterusan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, keputusan dibuat selepas menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa menitikberatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Johor.
Beliau berkata, keputusan dicapai hasil Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Jerebu Negeri Johor yang diadakan jam 12 tengah hari tadi selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kekal pada paras membimbangkan.
Katanya, Kerajaan Johor terus memberikan keutamaan tertinggi terhadap aspek keselamatan dan kesihatan anak-anak Johor dalam menghadapi situasi jerebu yang berterusan.
“Laporan pemantauan menunjukkan kualiti udara masih tiada perubahan ketara, selain mengambil kira faktor pergerakan angin ke arah utara serta unjuran cuaca bagi tempoh tiga hingga empat hari akan datang.
“Malah, pihak kesihatan turut menyuarakan kebimbangan dan pencegahan lebih menyeluruh terhadap risiko pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan berisiko.
“Sepanjang Oktober ini, sebanyak 30,648 kes asma dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) direkodkan, dengan peningkatan mingguan sebanyak 20.7 peratus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Muhammad Naqib berkata, pelanjutan penutupan itu tertakluk kepada perkembangan tahap kualiti udara, ramalan cuaca serta penilaian kesihatan semasa.
Beliau berkata, pengecualian secara terhad boleh dipertimbangkan bagi murid yang perlu menduduki peperiksaan atau pentaksiran tertentu.
Katanya, perkara itu tertakluk kepada penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ketat, termasuk pemakaian pelitup muka serta tanpa membabitkan sebarang aktiviti tambahan.
“JPNJ akan memperincikan SOP pelaksanaan selaras ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara harian, serta mendapatkan maklum balas terkini daripada Lembaga Peperiksaan dalam menyelaras jadual peperiksaan dan pentaksiran antara sekolah di bawah KPM dengan sekolah agama Johor.
“Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di samping pematuhan terhadap garis panduan kesihatan yang ditetapkan,” katanya.
Dr Muhammad Naqib berkata, sepanjang tempoh penutupan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan berpandukan Manual PdPR Versi 2.0 oleh KPM.
Beliau berkata, bagi Institusi Pendidikan Swasta (IPS) dan pusat penjagaan kanak-kanak, keputusan sama ada beroperasi atau ditutup, tertakluk kepada pertimbangan institusi masing-masing dengan syarat di kawasan tertutup dan memakai pelitup muka.
Pada masa sama, beliau berkata, sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan lebih awal dari semasa ke semasa, menerusi saluran rasmi JPNJ dan Media Digital Johor (MDJ), bagi membolehkan pihak sekolah, ibu bapa serta penjaga membuat persediaan sewajarnya.
Beliau menyarankan orang ramai sentiasa merujuk sumber maklumat rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Katanya, kerajaan negeri memahami penutupan berpanjangan turut memberikan kesan terhadap rutin pembelajaran murid dan guru, pengurusan institusi pendidikan serta urusan harian ibu bapa dan penjaga.
“Namun demikian, pertimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan murid perlu terus diberikan keutamaan, di samping memastikan keperluan pendidikan dapat dipenuhi melalui pendekatan yang bersesuaian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




