am@hmetro.com.my
Langkawi: Hujan lebat selama satu setengah jam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Pekan Kuah di sini, dilanda banjir kilat awal petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Jalan Penarak dan Jalan Pandak Mayah dinaiki air sedalam antara 0.1 dan 0.2 meter.
Bagaimanapun, air dilaporkan surut kira-kira sejam kemudian selepas hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan mulai reda.
Antara lokasi terjejas ialah kawasan deretan premis perniagaan di Jalan Pandak Mayah dan persimpangan empat berhampiran Kompleks Haji Ismail Group (HiG).
Tinjauan di media sosial mendapati beberapa pengguna berkongsi video dan gambar keadaan jalan sekitar pekan Kuah yang ditenggelami air.
Seorang pengguna media sosial, Mohd Rahimi turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan laluan menuju Pekan Kuah buat sementara waktu.
“Dah jadi laut, Pekan Kuah banjir, jangan mai, tengok ni, air banyak!” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Mamat786, mendakwa beberapa kenderaan kehilangan nombor pendaftaran selepas cuba meredah air banjir.
“Nombor plat sapa yang tercabut boleh tuntut di SugarBun Express,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




