Peringatan tuntut manusia henti kerosakan

Peringatan tuntut manusia henti kerosakan

Apabila musim kemarau menjelma, langit di Semenanjung dan Singapura hampir pasti bertukar kelabu. Fenomena ini membawa bau hangit yang menyengat, jarak penglihatan terhad dan ancaman kesihatan yang merisaukan.

Puncanya bukan rahsia lagi, kebakaran hutan, tanah gambut dan kawasan terbuka yang berleluasa di Sumatera serta Kalimantan.

Episod jerebu rentas sempadan pada 2015, 2019 dan 2023 sungguh meninggalkan kenangan pahit.

Pada 2019, rekod rasmi Indonesia mencatatkan sekitar 1.65 juta hektar terbakar. Pada 2023, angka rasmi ialah 1.16 juta hektar, tetapi analisis satelit Greenpeace menganggarkan 2.13 juta hektar.

Kajian saintifik pula meramalkan krisis 2015 sahaja menyumbang kepada lebih 100,000 kematian pramatang di rantau ini.

Walaupun berbentuk anggaran, angka ini menunjukkan betapa mahalnya harga nyawa yang dibayar. Peringatan tentang kerosakan alam sebegini sebenarnya telah lama terukir dalam al-Quran.

Tangan manusia dan peringatan yang tersirat

Dalam Surah Ar-Rum ayat 41, Allah SWT mengingatkan bahawa kerosakan di darat dan di laut berpunca daripada perbuatan tangan manusia, supaya mereka merasai sebahagian kesannya lalu kembali ke jalan yang benar.

Asap tebal yang merentasi sempadan itu berpunca daripada pembersihan tanah secara rakus untuk perladangan kelapa sawit serta industri pulpa dan kertas.

Cuaca panas dan El Niño memburukkan keadaan, namun api tidak menyala tanpa pencetus. Api di tanah gambut pula boleh membara senyap di bawah permukaan selama berminggu-minggu, malah berbulan-bulan.

Greenpeace menganggarkan kebakaran di gambut seluas 599,000 hektar pada 2023 membebaskan kira-kira 553 juta tan setara karbon dioksida.

Frasa ‘agar mereka kembali’ membuktikan jerebu bukan bencana rutin yang perlu diterima pasrah. Ia teguran Allah terhadap kealpaan kita.

Mengganggu keseimbangan bumi

Surah al-A’raf ayat 56 melarang manusia membuat kerosakan di muka bumi setelah Dia membaikinya, disertai seruan berdoa dengan penuh rasa takut dan harapan.

Hutan hujan tropika, tanah gambut dan biodiversiti Nusantara adalah sebahagian daripada keseimbangan alam (mizan) ciptaan-Nya.

Kita perlu jujur bahawa pada 2023, kebanyakan api membakar kawasan pertanian, tanah terbuka dan hutan terdegradasi, bukan hutan primer semata-mata. Namun, di situ perangkap ekologinya: tanah yang kerap terbakar hilang daya tahan, menjadi rapuh dan mudah terbakar lagi.

Ayat ini juga mengajar bahawa doa tidak boleh berdiri tanpa usaha. Tidak wajar kita menadah tangan memohon langit cerah, sedangkan punca api dibiarkan tanpa tindakan tegas.

Mengaku ‘membangun’, padahal merosak

Surah al-Baqarah ayat 11 dan 12 menegur golongan perosak yang mendakwa mereka hanya melakukan pembaikan. Al-Quran menegaskan mereka perosak sebenar, cuma tidak sedar.

Alasan serupa kerap kita dengar hari ini. Tebas dan bakar dijustifikasikan atas nama peluang pekerjaan, kemajuan industri dan pertumbuhan ekonomi. Adakah ia berbaloi apabila kos rawatan kesihatan melonjak, sekolah ditutup, penerbangan terganggu dan ekonomi rakyat kecil terjejas? Yang paling terkesan ialah penduduk tempatan berhampiran titik panas (hotspot). Pembangunan yang meracuni udara tidak wajar disolek sebagai kemajuan.

Rantaian amanah dan cermin diri

Surah al-Qasas ayat 77 menuntut kita mencari kebahagiaan akhirat tanpa mengabaikan bahagian di dunia, berbuat baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kita dan menjauhi kerosakan.

Islam tidak melarang perniagaan, pertanian atau perladangan, tetapi keuntungan tidak boleh dibina atas penderitaan orang lain.

Kita di negara jiran juga perlu bercermin. Menurut Greenpeace, sekitar 30 peratus kebakaran antara 2015 dan 2019 berlaku di konsesi pulpa dan kelapa sawit.

Syarikat-syarikat ini mempunyai pelabur dan pembeli yang luas, termasuk dari Malaysia dan Singapura. Sebagai pengguna kertas dan minyak sawit, kita berada dalam rantaian ekonomi yang sama.

Menuding jari sepenuhnya kepada jiran tanpa menilai peranan pasaran kita sendiri bukan sikap yang matang.

Isu ini juga tidak hanya melibatkan gergasi korporat. Ramai petani kecil terpaksa membakar kerana tiada modal atau teknologi untuk pembersihan tanah mesra alam.

Kerosakan sebagai kesalahan serius

Surah Al-Maidah ayat 33 membincangkan hukuman berat bagi mereka yang membuat kerosakan di muka bumi dan memerangi Allah serta Rasul-Nya.

Ayat ini khusus merujuk jenayah hirabah dan tidak boleh dipetik sewenang-wenangnya untuk menuduh setiap pembakar tanah. Namun, mesejnya jelas: Islam memandang serius sebarang perbuatan yang mengancam keselamatan, kesihatan dan nyawa awam.

Atas prinsip memelihara nyawa (hifz al-nafs) dalam Maqasid Syariah, penguatkuasaan undang-undang alam sekitar ialah tuntutan agama dan kemanusiaan.

Sejak 2015, Indonesia memperketat pencegahan dan tindakan undang-undang, manakala Perjanjian ASEAN mengenai ‘Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan’ menjadi platform diplomatik.

Namun, pertubuhan alam sekitar masih mengkritik tindakan terhadap pemegang konsesi besar yang dilihat terhad. Cabarannya ialah pelaksanaan yang telus tanpa pilih kasih.

Tanggungjawab dikongsi, udara tiada sempadan

Jalan keluar memerlukan kerjasama berterusan, bukan tuding-menuding ketika krisis.

Kerajaan ASEAN perlu memperkukuh perkongsian maklumat, bantuan teknologi pemadaman dan pemantauan titik panas secara masa nyata.

Syarikat wajib berpegang kepada dasar tanpa pembakaran (zero-burning) serta menyaring rantaian bekalan dengan ketat. Petani kecil pula perlu dibantu melalui subsidi dan alternatif pembersihan tanah tanpa api.

Sebagai pengguna, kita boleh memilih produk lestari dan bersijil. Para da’i dan khatib pula boleh menjadikan pemuliharaan alam sebagai tema khutbah dan ceramah, kerana menjaga udara dan bumi ialah sebahagian daripada menjaga amanah Allah SWT.

Kesimpulannya, jerebu mengajar kita bahawa alam sekitar tidak mengenal sempadan geografi mahupun politik.

Asap dari sebuah ladang di Sumatera boleh menyesakkan dada seorang anak kecil di Kuala Lumpur, Johor mahupun Singapura.

Al-Quran menegaskan bahawa merosakkan bumi ialah dosa besar dan akibatnya akan kembali menimpa kita. Selagi pintu pembaikan terbuka, menjadi tanggungjawab bersama pemerintah, syarikat dan setiap individu untuk berganding bahu memadamkan api rakus ini, sebelum ia memadamkan kebeningan langit dan keharmonian hidup kita di Nusantara.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top