Hotel terbiar jadi lokasi aktiviti pelacuran digempur

Hotel terbiar jadi lokasi aktiviti pelacuran digempur

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Bangladesh nekad terjun dari tingkat satu bangunan hotel terbiar di Jalan Pasar Baharu, Pudu, di sini, dalam cubaan melarikan diri ketika serbuan Op Noda, hari ini.

Bagaimanapun, cubaan lelaki berusia 30-an berkenaan untuk melarikan diri gagal apabila dia berjaya ditahan anggota polis yang berada di lokasi serbuan.

Lelaki terbabit bernasib baik apabila dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menahan 263 individu dalam Op Noda sempena Op Limau di lokasi berkenaan menerusi serbuan bermula kira-kira jam 6 petang.

“Kami menahan seramai 229 lelaki dan 34 wanita terdiri daripada warga tempatan serta warga asing dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Myanmar, Indonesia, India, Vietnam, China dan Thailand.

“Bagi tangkapan wanita, seramai 20 orang daripadanya yang ditahan berusia antara 20-an hingga 40-an disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan.

“Selain itu, kami ada menahan seorang lelaki yang tidak memberikan kerjasama ketika serbuan dan menghalang pihak polis menjalankan tugas ,” katanya ketika ditemui pada sidang media di lokasi serbuan, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Habibi Manjiji.

Allaudeen berkata, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan terhadap 14 kanak-kanak dalam operasi itu.

“Kebanyakan lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan ini adalah pelanggan kepada pelacur yang tinggal di hotel ini.

“Bagi lelaki warga asing pula, sebahagian mereka (yang ditahan) adalah penghuni, manakala selebihnya adalah pelanggan (pelacur),” katanya.

Katanya, semua individu yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut termasuk melakukan ujian saringan urin untuk memastikan sama ada mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pelacuran dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi mereka yang positif dadah,” katanya.

Katanya, keadaan hotel berkenaan yang terbiar menyebabkannya dijadikan sebagai lokasi aktiviti pelacuran selain disewa kepada warga asing.

“Aktiviti pelacuran dan kehadiran pendatang asing tanpa izin (pati) tertumpu di lokasi ini mungkin disebabkan bangunan hotel ini yang sudah lama tidak beroperasi dan dibiarkan kosong.

“Ini membabitkan mobilisasi sosial iaitu apabila orang tempatan keluar (dari sesuatu lokasi), warga asing pula yang masuk,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kerap menjalankan serbuan di lokasi terbabit yang dikatakan aktif dengan kegiatan pelacuran.

“Kita sedia maklum bahawa tempat ini adalah lokasi aktiviti pelacuran yang giat dijalankan buat sekian lama.

“Hari ini, lokasi ini digempur bagi membersihkan kawasan ini daripada aktiviti pelacuran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top