Huawei lancar Makmal AI, hab inovasi di rantau Asia Pasifik

Huawei lancar Makmal AI, hab inovasi di rantau Asia Pasifik

HUAWEI secara rasmi melancarkan Makmal Kecerdasan Buatan (AI) dan Pusat Inovasi baharunya di The Exchange 106 di ibu negara pada Isnin.

Makmal AI yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal menjadi hab inovasi Huawei di rantau Asia Pasifik.

Pusat baharu berkenaan berfungsi sebagai platform kolaboratif yang menghimpunkan pemain industri, penyelidik dan institusi pendidikan.

Naib Presiden Huawei, Wind Li berkata, inisiatif itu sejajar dengan kerangka nasional yang memfokuskan transformasi digital, AI serta teknologi hijau.

Menurut Wind, syarikatnya percaya AI mampu mempercepat transformasi pintar merentasi industri dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Anwar (tengah) melakukan gimik Pelancaran Pusat Inovasi dan Makmal Al Huawei di The Exchange 106@TRX, Kuala Lumpur. Foto: Bernama

Anwar (tengah) melakukan gimik Pelancaran Pusat Inovasi dan Makmal Al Huawei di The Exchange 106@TRX, Kuala Lumpur. Foto: Bernama

“Melalui strategi All-Intelligence, Huawei menggabungkan teknologi seperti AI, rangkaian, awan dan pengkomputeran untuk mewujudkan nilai sistematik dalam pelbagai sektor.

“Huawei komited memperkukuh ekosistem pengkomputeran bagi menyokong aspirasi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan kerangka Malaysia Madani,” katanya ketika berucap.

Wind berkata, pembangunan bakat kekal sebagai teras utama strategi Huawei selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab bakat AI serantau.

“Huawei mempunyai hampir 4,000 pekerja di negara ini dengan 80 peratus tenaga kerja terdiri daripada rakyat tempatan.

“Malah, lebih 72,000 bakat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah dilatih menerusi pelbagai inisiatif termasuk Akademi ASEAN Huawei serta kerjasama dengan institusi tempatan,” ujarnya.

Syarikat itu juga akan terus bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi tempatan dalam meningkatkan pengalaman 5G dan jalur lebar, selain merapatkan jurang digital khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam masa yang sama, Huawei memperluas peranan teknologi digital dalam pembangunan tenaga hijau serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pusat data serantau.

Ruang Makmal Al Huawei di The Exchange 106@TRX, Kuala Lumpur. Foto: Bernama

Ruang Makmal Al Huawei di The Exchange 106@TRX, Kuala Lumpur. Foto: Bernama

Sehingga kini, lebih 80 rakan ekosistem tempatan telah dibangunkan dan akan terus bekerjasama dengan pihak universiti bagi melahirkan lebih ramai bakat AI.

Bagi segmen pengguna, Huawei akan terus memperkaya ekosistem ‘Seamless AI Life’ melalui inovasi berterusan dalam peranti seperti telefon pintar, tablet, peranti boleh pakai dan audio bagi meningkatkan kualiti hidup.

Pada majlis itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada Huawei atas komitmen selama 25 tahun di Malaysia serta peranan berterusan syarikat itu dalam memperluaskan akses digital negara.

Beliau bersama delegasi lain turut dibawa dalam lawatan khas ke pusat berkenaan, yang mempamerkan aplikasi AI bagi kegunaan sektor kerajaan dan pendidikan, selain infrastruktur pengkomputeran termaju.

Huawei turut memperkenalkan Watch FIT 5 Series terbaharunya, yang merupakan peranti pertama seumpamanya di dunia untuk kajian risiko diabetes dan dijangka diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada Mei tahun ini.

Scroll to Top