Hubungan baik kerajaan negeri, Persekutuan perlu dimanfaatkan hingga tamat penggal – Maszlee

Hubungan baik kerajaan negeri, Persekutuan perlu dimanfaatkan hingga tamat penggal – Maszlee

JOHOR BAHRU – Hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri wajar dimanfaatkan sepenuhnya bagi meneruskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat sehingga tamat penggal pentadbiran.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik berkata, dalam keadaan negara berdepan pelbagai cabaran global, tumpuan semua pihak seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan memenuhi keperluan rakyat.

“Mengapa dikala pertumbuhan ekonomi semakin baik, mengapa dikala berlakunya krisis global, dengan kita punya pelaburan semakin ramai datang…tidak ada sebab untuk diadakan pilihan raya (sebab) menelan kos dan mengambil waktu.

“Walhal sepatutnya yang berlaku ialah semua pihak berpadu, letakkan ke tepi perbezaan dahulu, kita jayakan agenda sehingga ke hujung penggal, yang penting selamatkan rakyat, pentingkan makan pakai rakyat, keperluan mereka, pendidikan dan kesihatan mereka ini keutamaan,” katanya ketika Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Auditorium Permata Sari RTM pada Selasa.

Maszlee (kanan) ketika Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Auditorium Permata Sari RTM pada Selasa.

Maszlee (kanan) ketika Dialog Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Auditorium Permata Sari RTM pada Selasa.

Menurut beliau, petunjuk ekonomi negara menunjukkan perkembangan yang baik termasuk dari segi kemasukan pelaburan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat.

Sehubungan itu, Maszlee mempersoalkan kewajaran PRN Johor diadakan ketika pelbagai agenda pembangunan sedang berjalan dan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berada dalam keadaan baik.

Ujarnya, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak sepatutnya dimanfaatkan untuk memastikan pelaksanaan dasar dan pembangunan dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.

Pada masa sama beliau berkata, rakyat lebih mengutamakan kestabilan serta penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka seperti kos sara hidup, perumahan, pendidikan dan kesihatan.

“Rakyat Johor mahukan kemakmuran negeri dan bukannya hanya memikirkan kepentingan kelompok tertentu,” ujarnya.

Scroll to Top