Setiap kali tibanya musim Aidiladha, persoalan berkaitan ibadah korban pasti timbul dalam kalangan umat Islam. Antara isu yang sering diajukan ialah berkenaan hukum berkongsi satu bahagian korban, terutamanya 1/7 daripada lembu, dengan beberapa penama.
Adakah sah di sisi syarak sekiranya satu bahagian korban diniatkan untuk beberapa individu seperti bapa, ibu, isteri dan anak-anak serentak?
Bagi menjawab persoalan ini, penting untuk kita merujuk kepada sumber hukum yang sahih dan pandangan para ulama muktabar agar ibadah yang dilakukan benar-benar diterima oleh Allah SWT.
Dalam Islam, ibadah korban merupakan salah satu bentuk taqarrub kepada Allah yang dilakukan dengan menyembelih haiwan ternakan tertentu pada hari raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik. Ia bukan sekadar sedekah biasa, tetapi ibadah yang terikat dengan syarat dan kaifiat tertentu yang telah ditetapkan dalam syariah.
Pembahagian korban: Satu bahagian, satu nama
Hukum asalnya, satu bahagian korban hanya sah untuk satu nama sahaja. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Jabir RA:
“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji. Lalu Baginda menyuruh kami berkongsi dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.”(Riwayat Muslim)
Hadis ini menjadi dalil bahawa seekor lembu atau unta hanya boleh dikongsi oleh tujuh orang dan satu bahagian hanya mewakili satu individu. Ini bermakna, jika seseorang membeli satu bahagian (1/7) daripada lembu, maka hanya seorang sahaja yang sah sebagai peserta korban dari sudut syarak, bukan beberapa nama dalam satu bahagian.
Namun, ini tidak bermakna seseorang itu tidak boleh menghadiahkan pahala korban kepada orang lain. Bahkan, para ulama membenarkan seseorang itu menyembelih korban bagi dirinya dan meniatkan agar pahala korban itu dikongsi bersama ahli keluarganya, seperti isteri dan anak-anaknya.
Korban diniatkan untuk diri dan keluarga
Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA menyebut bahawa Rasulullah SAW menyembelih dua ekor kibas. Baginda menyebut ketika menyembelih:
“Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.”(Riwayat Muslim)
Hadis ini menjadi dalil bahawa dibenarkan bagi seseorang menyembelih seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya. Ini kerana ahli keluarga dianggap sebagai saling tolong menolong dalam melaksanakan ibadah korban tersebut. Namun, untuk dikongsikan pahala ini perlulah berniat supaya terhasil pahala itu juga untuk orang-orang yang diniatkan.
Pandangan ulama mazhab
Imam al-Nawawi, seorang tokoh besar dalam mazhab Syafi’i, menjelaskan dalam syarahnya ke atas hadis ini:
“Hadis inilah yang dijadikan dalil oleh mereka yang membenarkan seseorang lelaki berkorban bagi dirinya dan bagi ahli keluarganya serta berkongsi pahala bersama mereka. Inilah mazhab kami (Syafi’iyyah) dan juga mazhab jumhur (majoriti ulama).”
Beliau turut menyebut bahawa ada sebahagian ulama seperti al-Thauri dan Abu Hanifah yang memakruhkan amalan ini, sementara Imam al-Tahawi pula mendakwa bahawa hadis tersebut telah dimansuhkan. Namun pandangan ini dibantah oleh para ulama kerana dakwaan mansuh (pembatalan) dan takhsis (pengkhususan) tidak boleh diterima hanya berdasarkan sangkaan.
Dalam mazhab Syafi’i, dibenarkan untuk menyembelih seekor haiwan korban dan menghadiahkan pahalanya kepada keluarga, selama mana penyembelihan itu dilakukan atas nama satu individu. Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitab al-Iqna’ menyebut:
“Maka jika dia menyembelihnya untuk dirinya dan untuk ahli keluarganya, atau untuk dirinya dan dia berkongsi dengan orang lain dalam pahalanya, maka dibenarkan.”(Al-Iqna’, 2/589)
Justeru, perkongsian yang dibenarkan ialah dari sudut pahala, bukan dari sudut nama peserta korban.
Kesalahan umum: Satu bahagian diniatkan untuk banyak nama
Amalan yang sering berlaku ialah apabila seseorang membeli satu bahagian lembu, kemudian dinamakan untuk dirinya, arwah ibu bapa, isterinya, dan anak-anaknya serentak. Ini adalah tidak sah kerana satu bahagian hanya boleh mewakili satu individu sebagai peserta korban. Kes yang sama juga berlaku apabila ada wakil rakyat menghadiahkan lembu kepada masjid, lalu dinamakan untuk seluruh ahli kariah masjid.
Sekiranya seseorang ingin berkorban untuk beberapa individu, maka perlu disediakan satu bahagian khusus untuk setiap individu tersebut. Sebagai contoh, jika ingin berkorban untuk dirinya, arwah ayah dan arwah ibu secara berasingan, maka perlulah membeli tiga bahagian (3/7) daripada lembu.
Namun, jika seseorang itu menyembelih seekor kambing atau satu bahagian korban atas namanya sendiri dan menghadiahkan pahalanya kepada seluruh keluarganya, maka itu dibenarkan menurut mazhab Syafi’i. Caranya ialah dia membeli dan berkorban atas namanya seorang, tetapi diniatkan pahalanya untuk seluruh ahli keluarganya
Cadangan penambahbaik ibadah korban
1. Tetapkan niat dengan jelas. Pastikan setiap bahagian korban mempunyai seorang peserta yang jelas. Jika ingin menyertakan nama lain, niatkan sebagai hadiah pahala, bukan peserta korban.
2. Rujuk pihak berautoriti. Umat Islam digalakkan untuk bertanya kepada pejabat agama atau ulama yang ahli dalam fiqh ibadah sebelum membuat keputusan.
3. Elakkan khilaf. Sekiranya berlaku keraguan, lebih baik mengambil jalan ihtiyat (berhati-hati) agar ibadah korban tidak sia-sia.
4. Utamakan keikhlasan. Matlamat korban adalah mendekatkan diri kepada Allah, bukan semata-mata agihan daging. Maka pastikan ia dilakukan dengan penuh ikhlas dan mengikut sunnah.
Kesimpulannya, ibadah korban adalah simbol ketaatan kepada Allah SWT dan meneladani sunah Nabi Ibrahim AS. Justeru, ia mesti dilakukan dengan menurut ilmu dan kefahaman. Berkongsi satu bahagian korban untuk beberapa nama bukanlah amalan yang sah di sisi syarak.
Namun, berkongsi pahala korban kepada ahli keluarga masih dibenarkan, asalkan penyembelihan itu dilakukan atas nama seorang peserta sahaja. Semoga ibadah korban yang kita lakukan tahun ini diterima oleh Allah dan menjadi saham akhirat yang kekal abadi.
Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri
© New Straits Times Press (M) Bhd