Ibnor Riza dirawat di ICU

Ibnor Riza dirawat di ICU

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan selepas pengsan di kediamannya awal pagi semalam.

Rakannya yang juga penyanyi, Nizam Laksamana berkongsi perkembangan itu berkata, Ibnor terpaksa ‘ditidurkan’ bagi membolehkan doktor mencari puncanya pengsan selain mengesan masalah penyakit lain.

“Saya baru call adik kepada Ibnor Riza, katanya, Ibnor telah dimasukkan kedalam ICU Hospital Port Dickson. Doktor sedang merawat dan mencari punca beliau kerap pengsan dan sawan. Mohon doa kawan-kawan semoga Ibnor kuat, semoga Allah beri kesembuhan buat beliau,” tulis di Facebook miliknya.

Sebelum ini, Ibnor dilaporkan mengidap pelbagai komplikasi penyakit seperti leher membengkak, darah tinggi, kencing manis, hilang suara, migrain dan tahap kolesterol kritikal serta pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selama dua minggu akibat sesak nafas dan pitam.

Beliau mula berada dalam industri pada 1987, Ibnor popular dengan rangkaian lagu antaranya Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Rahsia Ukiran Duka dan Sudah Terluka Merindu Pula. – MalaysiaGazette