Ikan naik harga, cuaca jadi punca

Ikan naik harga, cuaca jadi punca

am@hmetro.com.my

Kuala Kedah: Cuaca yang tidak menentu serta keadaan ombak yang bergelora kebelakangan ini menyebabkan sebahagian besar nelayan tidak dapat turun ke laut menangkap ikan.

Keadaan itu menyebabkan harga pasaran ikan terutama ikan kembung terus meningkat antara RM10 hingga RM20 sekilogram (kg) bergantung pada saiz.

Nelayan, Ismail Awang, 64, berkata, keadaan laut yang bergelora menyebabkan mereka tidak berani menangkap ikan di tengah laut.

Katanya, mereka hanya mampu menangkap ikan di kawasan berhampiran muara Kuala Kedah.

“Biasanya saya turun ke laut pada awal pagi sekitar jam 5 atau 6 pagi tetapi sejak cuaca tidak menentu, dia turun ke laut pada jam 7 pagi dan pulang ke pelantar ikan sekita jam 10 atau 11 pagi.

“Namun, tangkapan ikan tak banyak…kadang tu tak sampai sekilo pun dan ada sikit-sikit hasil tangkapan tu saya jual jugak tetapi mahal sikit la.

“Ikan berkurangan sejak dua bulan lalu dan adakalanya langsung tak dapat ikan,” katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini, tadi,

Menurut Ismail, setiap kali membawa pulang hasil tangkapan, dia akan membawa pulang ikan untuk dibuat ikan kering bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku setiap hujung tahun.

Katanya, sekiranya berlaku hujan yang disertai ribut di tengah laut, mereka tidak dapat turun menangkap ikan dan pada waktu itulah mereka berehat di rumah.

Sementara itu, peniaga ikan, Asmawati Ahmad, 43, berkata, disebabkan hasil tangkapan ikan kurang, mereka yang berniaga di pelantar itu kini beralih arah menjual kerang atau siput.

Katanya, kerang dijual pada harga RM5 untuk setengah kilo manakala RM10 untuk sekilogram.

“Memang ikan tak ada langsung buat masa ini terutama ikan kembung yang paling mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Bergantung pada nasib, kalau ada hasil ikan kembung, saya jual terus itu pun harganya mahal iaitu RM8 sekilo untuk saiz kecil manakala RM15 hingga RM18 sekilo untuk saiz sederhana dan RM18 hingga RM20 sekilo untuk saiz besar.

“Kalau ada pun, tangkapan ikan kerisi RM10 hingga RM15 sekilo bergantung pada gred dan ikan cencaru tiga ekor RM10,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, berlaku kekurangan ikan dan hasil tangkapan laut seperti sotong dan udang di seluruh negara ketika ini, susulan faktor cuaca dan laut bergelora.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian besar daripada 100,000 nelayan di negara ini terutama bot kecil tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan.

“Kalau di Kedah kita mempunyai anggaran 7,000 nelayan berdaftar yang mana 3,000 daripadanya adalah nelayan di sekitar Kuala Kedah.

“Memang sekarang berlaku peningkatan harga ikan disebabkan kurangnya hasil tangkapan.

“Setakat ini, ikan sejuk beku yang disimpan sebelum ini sama ada di tempat simpanan ikan swasta atau kerajaan mencukupi dan dapat menampung kekurangan hasil tangkapan ikan ketika ini,” katanya.

Abdul Hamid turut menasihatkan nelayan supaya berhati-hati ketika turun ke laut dan sentiasa patuhi arahan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkaitan cuaca dan memakai jaket serta alatan keselamatan ketika turun ke laut.

Beliau berkata, kekurangan hasil tangkapan ini dijangka kembali pulih tidak lama lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top