Ikhlas dengan bodoh dekat sangat, senipis kulit bawang’ – Sanusi

KOTA BHARU​ – Pas digesa supaya tidak lagi menyerahkan kerusi berpotensi menang kepada parti komponen lain, sebaliknya perlu teguh memegang kekuatan sendiri menghadapi pilihan raya akan datang.

​Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, parti yang kini sudah berusia 75 tahun itu tidak wajar berasa kerdil di hadapan parti baharu, terutamanya dalam urusan kerjasama politik dan pembahagian kerusi.

​Menurutnya, Pas perlu berani menentukan dan mempertahankan kerusi yang benar-benar berpotensi dimenangi serta tidak mengulangi tindakan menyerahkan kerusi hak parti kepada pihak lain.

​”Kita akan tentukan kerusi mana yang patut, yang boleh dimenangi oleh Pas. Kita jangan lepaskan kerusi itu kepada siapa-siapa pun.

​”Kerusi hak kita, boleh menang bagi kepada orang, hak nak kalah kita ambil. Itu ikhlas dengan bodoh namanya.

​”Ikhlas dengan bodoh ni dekat sangat, jaraknya hanya senipis kulit bawang. Jangan ambil yang bodoh, ambil yang ikhlas tak apa,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Sabtu.

​Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengibaratkan Pas seperti ‘parti gajah’ yang tidak sepatutnya gundah atau mengikut rentak parti baharu yang diumpamakan seperti kucing.

​”Dilarang tawaduk kepada orang yang tidak tawaduk. Ni masalah orang Pas, dia berasa kerdil. Dilarang berasa kerdil kepada orang yang merasa dirinya besar. Pas ni dah jadi parti gajah, tiba-tiba lalu kucing bawa anak dua tiga ekor ni, dia takut.

​”Jangan ikut kucing tu, dia pun baru nak hidup! Dia baru tubuh parti dua hari, lepas tu mendongak ajak kita, lepas tu kita turut dia. Tak betul tu.

​”Orang yang ada masalah pun mai kat kita. Mereka nak cari ubat suruh kita hembus, kita tolonglah hembus. Dah jadi sihat elok, jangan naik panjat belakang kita pula. Cakap terus terang saja, jangan takut. Malu alah apa? Lama dah, dah 75 tahun, takut nak parti dua hari… Kenapa?” soal beliau.

​Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi turut memberi peringatan bahawa sikap terlalu mengalah hanya akan memosisikan Pas sekadar jentera pilihan raya untuk memenangkan calon parti lain.

​”Lepas tu parti dia besar, parti kita kecil. Dia jadi calon, kita jadi jentera. Mampus lagu tu.

​”Cakap terus teranglah, jangan sembunyi-sembunyi. Kita habislah waktu berasa kerdil kepada orang yang main menumpang kita, kita pula rasa kerdil. Bilik tidur kita, kita beri dia tidur, kita tidur ruang tamu… Banyak cantik?” bidasnya.

​Beliau turut mengingatkan pimpinan dan jururunding parti supaya berani mempertahankan pendirian sewaktu rundingan perundingan kerusi dijalankan.

​”Berbicara terus terang, speak your mind kata orang putih. Jangan lepas (ruang) baru rugi. Beri semua kepada orang lepas tu menyesal, mai duduk meratap di sini.

​”Perwakilan pun cakap, perbahasan pun cakap, tapi masa hampa duduk deal, hampa rasa kerdil. Lepas tu mai duduk menyesal. Berhentilah buat kerja-kerja tu,” tegas beliau.

​Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyeru seluruh jentera parti di semua negeri untuk melipatgandakan kerja lapangan tanpa perlu menunggu pembubaran Parlimen.

​Beliau turut menitipkan pesanan kepada para wakil rakyat Pas agar sentiasa komited berkhidmat menyantuni rakyat di kawasan masing-masing.

​”Teruslah berkhidmat, jangan cari jalan nak main Kuala Lumpur saja. Kerja pilihan raya ni bukan tunggu bubar Parlimen, kita nak sokongan orang ramai,” ujarnya.

 

 

Scroll to Top