SHAH ALAM – Sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) adalah bercanggah dengan semangat Dasar Pendidikan Kebangsaan dan bakal membuka pintu malapetaka buat masa depan negara.
Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, oleh itu kerajaan digesa untuk segera bertegas dan menghentikan agenda mengarut pengiktirafan UEC ini.
Menurutnya, dalam masa sama semua pihak tidak boleh berdiam diri melihat sistem pendidikan negara dan masa depan anak bangsa dirosakkan oleh percaturan politik yang sempit.
“Jika kerajaan tetap berdegil melaksanakan agenda dari pihak-pihak tertentu, satu gerakan selaras undang-undang mesti diambil terhadap keputusan yang membelakangkan perlembagaan ini.
“Pengumuman kelulusan Kabinet pada hari Khamis yang lalu jelas membuktikan pentadbiran ini tidak bertegas, tidak mempunyai hala tuju dasar yang jelas dan hanya membuat keputusan secara semberono.
“Tindakan cuba menyelitkan dan mencampuradukkan pengiktirafan UEC bersama-sama dengan lepasan institusi tahfiz adalah satu helah kosmetik yang sangat dangkal,” katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), atau UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Tambah Mohd Nor, hakikatnya, sistem pendidikan yang bersifat ‘multipolar’ atau pelbagai aliran terbukti telah gagal menjadi medium penyatuan.
Jelasnya, realiti pada hari ini, perpaduan rakyat gagal dipupuk dari rebung, manakala kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penyatuan terus gagal diperkasa di sekolah-sekolah aliran jenis kebangsaan.
“Hal ini secara langsung terus melebarkan jurang sosial dan menggagalkan usaha asimilasi serta penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
“Langkah mengiktiraf sistem yang meminggirkan dasar kebangsaan pastinya membawa mafsadah (kerosakan) yang jauh lebih besar kepada kerukunan hidup bermasyarakat dan kelestarian identiti negara berbanding sedikit manfaat politik yang cuba diraih oleh pihak tertentu,” ulasnya.



