Iman 'lupa' seketika penyakit dihidapinya

am@hmetro.com.my

Alor Setar: “Alhamdulillah anak sangat gembira hinggakan dia ‘lupa’ sementara penyakit yang dihidapinya.

“Terima kasih atas doa dan sumbangan daripada rakyat Malaysia selepas kisah saya disiarkan di media,” kata Sharifah Noraliza Sharif Nordin, 39.

Sharifah Noraliza adalah ibu kepada Nur Iman Syamimi Muhammad Shaukhi, 14, yang menghidap kanser otak sejak Januari tahun lalu.

Menurutnya, wang sumbangan yang diterima itu akan digunakan sepenuhnya untuk mereka sekeluarga memandangkan hanya suaminya, Muhammad Shaukhi Ghazali, 43, yang mencari nafkah menyara mereka dengan menjual buah kelapa.

Katanya, dia juga berterima kasih kepada Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang banyak membantunya selama ini.

“Sebagai ibu, saya sangat gembira apabila melihat anak diraikan sempena hari lahirnya tahun ini dan itu yang dia minta.

“Anak saya gembira menerima hadiah telefon bimbit daripada CSM, walaupun hanya nampak imej samar-samar, dia pandai ambil gambar wajahnya sendiri.

“Alhamdulillah tak sangka ini rezeki buat anak saya… Terima kasih semua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Nur Iman Syamimi juga lebih bersemangat berbanding sebelum ini dan dia hanya mempunyai baki tiga kali lagi rawatan kemoterapi.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu pernah bertanya sampai bila dia perlu menjalani suntikan bagi rawatan kemoterapi dan rawatan lain kerana kesakitan yang dialaminya setiap kali disuntik.

“Saya minta dia bersabar sehingga sembuh tapi sebagai ibu memang tak sanggup tengok dia sakit.

“Saya dan suami terus berdoa supaya anak kami sihat semula seperti dulu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, hasrat pesakit kanser, Nur Iman Syamimi untuk naik ke Menara Alor Setar sempena hari lahirnya pada 30 Ogos lalu tercapai selepas CSM mengatur segalanya untuk meraikan majlis untuknya, malam kelmarin.

Remaja itu tidak sempat meneruskan pengajiannya di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa tahun lalu selepas disahkan menghidap kanser otak menyebabkan dia kini tidak dapat bergerak, bertutur dan penglihatan matanya makin kabur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top