LATEST

Impian 'berlari' bersama Nur Wadihan

Impian 'berlari' bersama Nur Wadihan

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Sudah lama saya pasang impian untuk bawa anak istimewa saya menyertai larian half marathon (separuh maraton, 21.1 kilometer) di tiga negara, akhirnya hajat saya tercapai,” katanya Wira Sudepja Rabu, 51.

Menurut Wira Sudepja, dia aktif menyertai program berkenaan bersama anaknya, Nur Wadihan, 18, yang menghidap Cerebral Palsy tahap Quadriplegia sejak 2014.

“Sejak lahir lagi, Nur Wadihan disahkan menghidap Cerebral Palsy yang menyebabkannya hanya terlantar.

“Ketika dia berusia antara satu hingga tiga tahun, kami banyak menghabiskan masa di hospital untuk rawatan.

“Kebanyakan masa ketika itu juga, kami hanya berada di rumah memandangkan Nur Wadihan terlantar,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia mula aktif berlari dan berbasikal pada 2014 selepas mengalami serangan panik selain isterinya yang disahkan alami pra-hipertensi.

“Keadaan kesihatan saya ketika itu menyebabkan saya mahu mengamalkan gaya hidup sihat dengan berlari dan berbasikal.

“Ketika kali pertama saya bawa Nur Wadihan keluar di sebuah taman di Putrajaya, dia nampak gembira dan banyak tersenyum apabila lihat orang berbasikal.

“Situasi itu menyebabkan saya terdetik untuk bawa Nur Wadihan sertai saya semasa larian dan berbasikal,” katanya.

Wira Sudepja yang bekerja sebagai pengurus logistik berkata, dia mula sertai program larian dan kayuhan umum sejak 2015.

“Ada rakan yang beri sumbangan dana untuk saya ikut serta acara larian dan kayuhan kerana dia mahu melihat kami (bersama Nur Wadihan) menyertainya.

“Malah sehingga kini, rakan berkenaan masih terus menyokong saya untuk menyertai acara berkenaan bersama Nur Wadihan.

“Sehingga kini, lebih 300 acara larian dan kayuhan kami sertai termasuk di luar negara. Dalam setiap acara, saya menggunakan treler khas untuk membawa Nur Wadihan ketika berlari dan berbasikal,” katanya.

Katanya, beliau sudah lama menyimpan impian untuk membawa Nur Wadihan menyertai maraton di luar negara.

“Alhamdulillah, impian saya tercapai apabila dapat menyertai acara half marathon peringkat antarabangsa di Hatyai, Thailand dan Singapura selain di Kuala Lumpur, tahun lalu.

“Pencapaian ini adalah detik membanggakan dan membahagiakan bagi saya kerana ia dikongsi bersama anak Nur Wadihan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan Wira Sudepja dan Nur Wadihan menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas penyertaan mereka dalam acara sukan lasak duathlon (menaiki wheel chair) pada 2018 serta Kayuhan merentas sempadan ke Thailand pada tahun 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news