kartika@hmetro.com.my
Baca juga: Lelaki warga asing tetak tangan anggota polis hingga putus maut ditembak
Kuala Lumpur: Perkembangan pesat industri pusat data susulan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi membuka pasaran baharu kepada PETRONAS menerusi pembekalan gas asli bagi menjana tenaga untuk menyokong operasi kemudahan berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, permintaan tenaga daripada pusat data boleh mewujudkan peluang komersial kepada industri gas negara, khususnya menerusi penjualan gas pada harga pasaran berbanding eksport melalui kontrak jangka panjang.
Katanya, Malaysia mengeksport kira-kira 30 juta tan metrik gas asli cecair (LNG) setahun dan perkembangan industri pusat data membuka ruang untuk memanfaatkan sebahagian sumber tenaga itu bagi memenuhi keperluan domestik.
“Penggunaan gas untuk penjanaan elektrik bagi pusat data boleh menjadi peluang kepada PETRONAS untuk mengembangkan pasaran, selain eksport ke negara sedia ada.
“Jika kita dapat membangunkan pusat data yang menggunakan tenaga solar, mereka masih memerlukan penjanaan elektrik melalui gas, PETRONAS boleh membekalkan gas kepada pusat data dan menerima harga pasaran bagi bekalan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Invest Malaysia Sectoral Series bertemakan Powering The AI Era – Watt Next? di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Farid Alias.
Johari berkata, keperluan tenaga pusat data perlu diurus secara berasingan daripada penggunaan elektrik isi rumah dan industri sedia ada bagi memastikan pertumbuhan sektor digital tidak menjejaskan aktiviti ekonomi utama negara.
Katanya, kerajaan juga memastikan pengendali pusat data menanggung kos bekalan elektrik dan infrastruktur penghantaran yang diperlukan, tanpa bergantung kepada subsidi yang diperuntukkan kepada pengguna domestik serta sektor perniagaan lain.
Beliau berkata, pendekatan itu penting memandangkan 117 pusat data sudah mendapat kelulusan dengan anggaran permintaan tenaga maksimum kira-kira 23,500 megawatt (MW) apabila semua projek beroperasi sepenuhnya.
Daripada jumlah itu, katanya 55 pusat data sudah beroperasi, 19 sedang dalam pembinaan, manakala 16 lagi mendapat kelulusan tetapi belum memulakan pembinaan dan 27 projek lain turut diluluskan dengan pengaturan bekalan tenaga luar grid.
“Kerajaan turut menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif termasuk solar, hidro dan penjanaan gas, selain sistem penyimpanan tenaga bateri bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan grid sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, kerajaan menetapkan pendekatan terpilih terhadap pembangunan pusat data dengan mengambil kira keupayaan bekalan air, tenaga dan tanah sebelum sesuatu projek diberikan kelulusan.
Beliau berkata, pembangunan teknologi penyejukan yang lebih cekap juga perlu diberi perhatian bagi mengurangkan penggunaan air dan tenaga, sekali gus membuka ruang kepada pemindahan teknologi untuk dimanfaatkan industri lain.
Katanya, pertumbuhan sektor berkenaan bukan sekadar bertujuan menarik pelaburan asing, sebaliknya membangunkan ekosistem digital yang membolehkan syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memanfaatkan teknologi AI serta meningkatkan produktiviti.
© New Straits Times Press (M) Bhd