KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut daripada syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic, berhubung dapatan mengenai terdapat usaha terancang menggunakan teknologi itu untuk memanipulasi pilihan raya di Malaysia.
Baca juga: Anwar kecam insiden warga asing serang anggota polis bertugas, doa Lans Koperal diberi kesembuhan
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan sebarang penilaian dan tindakan susulan dibuat berdasarkan maklumat serta bukti mencukupi.
Menurutnya, MCMC mengambil maklum dan memandang serius laporan diterbitkan oleh syarikat berkenaan, berhubung dakwaan penyalahgunaan teknologi AI bagi tujuan manipulasi pengaruh politik yang menyasarkan pengguna di Malaysia.
“Berdasarkan maklumat dan bukti diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan bersesuaian mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk melalui kerjasama dengan agensi penguatkuasaan, agensi keselamatan, penyedia platform dan pihak berkaitan sekiranya diperlukan.
“Sebarang tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan oleh MCMC akan dilaksanakan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] serta undang-undang lain yang terpakai di bawah bidang kuasanya,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai reaksi Kerajaan terhadap dapatan Anthropic bahawa terdapat usaha terancang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi pilihan raya di negara ini.
Fahmi berkata, berdasarkan laporan berkenaan, Anthropic mendakwa bahawa teknologi Claude digunakan oleh suatu entiti di luar negara untuk membangunkan beberapa komponen operasi berkenaan, termasuk sistem penyasaran, rangkaian akaun media sosial palsu, laman berita palsu dan komponen berkaitan.
“Anthropic turut mendakwa operasi berkenaan mempunyai kaitan dengan BBS Bilisim Teknolojileri, sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Istanbul, Türkiye dan bahawa akaun Claude yang dikenal pasti sudah ditamatkan serta langkah mitigasi sudah dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Digital sedang menggubal Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan bagi memperkukuh kerangka tadbir urus AI negara, termasuk aspek akauntabiliti, pengurusan risiko dan tanggungjawab pihak yang membangun serta melaksanakan sistem AI.
“Kerajaan akan terus memperkukuh pemantauan terhadap risiko penyalahgunaan teknologi AI serta kerjasama dengan penyedia teknologi, platform digital dan agensi berkaitan bagi menangani kemudaratan dalam talian dan memastikan persekitaran digital negara kekal selamat, telus dan dipercayai, ” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd