am@hmetro.com.my
Baca juga: Lans Koperal polis ditetak suspek jalani pembedahan sambung pergelangan tangan kanan – Shazeli
Kuala Lumpur: Lelaki dipercayai warga asing yang menetak pergelangan tangan kanan seorang anggota polis hingga putus di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, petang tadi, meninggal dunia selepas ditembak polis ketika cuba ditahan malam ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang polis menggunakan parang ketika dikesan berhampiran sebuah taman permainan, tidak jauh dari pangsapuri berkenaan, antara jam 7.30 hingga 8 malam.
“Dalam usaha mempertahankan diri dan membuat tangkapan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke atas suspek.
“Namun tembakan itu hanya mencederakan suspek dan apabila melihat keadaan tersebut pihak polis berusaha untuk membawa suspek untuk buat rawatan di hospital,” katanya pada sidang media di Hospital Selayang, malam ini.
Beliau berkata, suspek kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang, manakala anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun yang cedera dalam serangan awal kini stabil dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur bagi menyelamatkan pergelangan tangan kanannya.
Terdahulu Shazeli berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 4 petang mengenai seorang lelaki dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mungkin mengamuk di pangsapuri terbabit.
Katanya, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian bergegas ke lokasi bagi memeriksa keadaan.
“Kira-kira 7 malam, semasa dalam proses untuk melaksanakan tindakan ke atas maklumat itu, apabila premis kediaman dibuka, seorang individu dari dalam rumah meluru keluar dengan bersenjatakan dua parang.
“Dia menyerang pihak polis, bomba dan kakitangan KKM yang sedang berada di hadapan pintu,” katanya.
Beliau berkata, seorang anggota polis mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanannya putus ketika cuba mempertahankan diri daripada serangan itu.
“Anggota lain kemudian berundur untuk menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke tingkat bawah sebelum dikesan polis berhampiran sebuah taman permainan,” katanya.
Shazeli berkata, anggota polis yang cedera itu berusia 26 tahun, berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Katanya, mangsa turut mengalami beberapa kecederaan pada kepala dan badan serta dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima maklumat bahawa anggota bomba dan petugas KKM mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu, namun masih menunggu laporan rasmi daripada kedua-dua agensi berkenaan.
Mengenai suspek, Shazeli berkata, semakan awal mendapati lelaki itu dipercayai warga asing, tetapi identiti dan butiran dirinya masih dalam proses pengesahan.
Katanya, siasatan turut dijalankan di kediaman suspek serta lokasi kejadian tembakan bagi mendapatkan gambaran lengkap mengenai insiden berkenaan.
Beliau berkata, jumlah tembakan yang mengenai suspek dan kecederaan dialaminya belum dapat dipastikan sementara menunggu keputusan bedah siasat.
“Setakat ini, kita percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek akan dijalankan di Hospital Selayang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd