Import negara naik 8.4%, eksport susut 0.8% pada Februari

Import negara naik 8.4%, eksport susut 0.8% pada Februari

KUALA LUMPUR – Eksport negara menyusut secara marginal 0.8 peratus atau RM939.5 juta pada bulan Februari 2024. manakala import meningkat 8.4 peratus kepada RM100.5 bilion.

Prestasi ini menjadikan imbangan dagangan merosot 44.4 peratus kepada RM10.9 bilion pada Februari 2024.

Bagaimanapun, perdagangan Malaysia meneruskan momentum pada Februari 2024, dengan peningkatan 3.3 peratus dalam jumlah dagangan daripada RM205.0 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM211.8 bilion.

Peningkatan dalam jumlah dagangan seiring dengan kenaikan 8.4 peratus dalam import kepada RM100.5 bilion, terutamanya didorong oleh barangan modal (kecuali kelengkapan pengangkutan).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia menurun pada Februari 2024 sejajar dengan penguncupan dalam eksport semula.

Eksport semula berjumlah RM19.8 bilion, merosot 20.2 peratus manakala eksport domestik bernilai RM91.5 bilion, menyumbang 82.2 peratus kepada jumlah eksport meningkat 4.7 peratus berbanding Februari 2023.

Sementara itu, lebihan dagangan merosot 44.4 peratus kepada RM10.9 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-46 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Membandingkan prestasi perdagangan dengan Januari 2024, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 9.1 peratus, 10.5 peratus dan 9.7 peratus manakala, imbangan dagangan mencatatkan kenaikan 6.9 peratus.

Mohd Uzir berkata, eksport yang lebih rendah disumbangkan oleh penurunan terutamanya ke Singapura (-RM2.8 bilion) diikuti oleh Hong Kong (-RM2.1 bilion), Thailand (-RM1.0 bilion), Korea (-RM476.7 juta) dan Brazil (-RM396.8 juta).

Selain itu, import yang lebih tinggi disumbangkan terutamanya dari Singapura (+RM2.8 bilion) diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM1.1 bilion), Emiriah Arab Bersatu (+RM871.0 juta), Korea (+RM793.5 juta) dan Kesatuan Eropah (+RM739.7 juta).

Penurunan ini sejajar dengan kejatuhan dalam barangan elektrik & elektronik (-RM4.4 bilion); keluaran petroleum (-RM1.7 bilion); minyak sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (-RM579.4 juta) dan kimia & bahan kimia (-RM351.8 juta).

Manakala, kenaikan import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (+RM2.8 bilion); jentera, kelengkapan & peralatan (+RM2.0 bilion); keluaran petroleum (+RM1.1 bilion) dan barangan perkilangan logam (+RM872.4 juta).

Dalam pada itu, katanya, pertambahan import mengikut penggunaan akhir seiring dengan permintaan yang lebih tinggi bagi barangan modal, barangan penggunaan dan barangan perantaraan.

Import barangan modal bernilai RM10.2 bilion, meningkat 30.3 peratus berbanding Februari 2023, mewakili 10.2 peratus daripada jumlah import.

Barang penggunaan (8.4% daripada jumlah import), meningkat 19.7 peratus daripada RM7.0 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM8.4 bilion dan barangan perantaraan (55.5% daripada jumlah import), bernilai RM55.8 bilion, mencatatkan peningkatan 14.3 peratus atau RM7.0 bilion. – MalaysiaGazette