Niaga Hadapan Minyak Soya didagangkan di Bursa Malaysia Derivatives

Niaga Hadapan Minyak Soya didagangkan di Bursa Malaysia Derivatives

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) telah memulakan dagangan kontrak Niaga Hadapan Minyak Kacang Soya DCE (FSOY) Bursa Malaysia, kontrak hadapan minyak makan bukan berasaskan sawit pertama yang disenaraikan di bursa itu.

Ini berikutan perjanjian yang ditandatangani dengan Bursa Komoditi Dalian (DCE) untuk pelesenan harga penyelesaian niaga hadapan minyak kacang soya yang diumumkan pada November 2023, kata BMD dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami berbesar hati menjadi bursa pertama di luar China yang diberi lesen bagi merangkumkan harga penyelesaian niaga hadapan komoditi DCE ke dalam penawaran produk kami.

“Selain kontrak niaga hadapan sedia ada, peserta pasaran kini boleh memanfaatkan FSOY sebagai alat pengurusan risiko untuk melindung nilai daripada turun naik harga semasa ketidakstabilan pasaran dan kerumitan perubahan pasaran antarabangsa,” kata Pengerusi BMD dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift.

BMD merupakan pengendali kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah yang paling aktif di dunia, manakala DCE mengendalikan kontrak niaga hadapan minyak kacang soya paling rancak di peringkat global.

“Pelancaran FSOY adalah hasil kerjasama pragmatik yang selaras dengan ‘Belt and Road’ selain meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.

“Ia memperkayakan alatan yang tersedia untuk peserta rantaian industri minyak dan lemak global dalam mengurus risiko harga serta mengukuhkan hubungan antara pasaran hadapan kedua-dua negara,” kata jurucakap DCE.

Pada 2023, Kontrak Niaga Hadapan Minyak Kacang Soya DCE menjadi kontrak niaga hadapan minyak kacang soya yang paling banyak didagangkan di seluruh dunia, dengan transaksi sebanyak 204 juta kontrak.

Sementara itu, Pengarah BMD Mohd Saleem Kader Bakas berkata pelancaran itu tepat pada masanya, memandangkan perkembangan dalam penggunaan minyak kacang soya yang agak dinamik sebagai minyak masak dan bahan suapan untuk biofuel.

“FSOY membenarkan peniaga antarabangsa mengambil bahagian dalam perdagangan niaga hadapan minyak kacang soya berdasarkan asas pasaran China, sambil pada masa yang sama menyediakan fleksibiliti untuk berdagang niaga hadapan minyak sawit mentah di bursa yang sama.

“Ini membolehkan peniaga merebut peluang timbang tara antara dua komoditi yang biasa menjadi gantian melalui dagangan tebaran,” tambahnya.

FSOY ialah kontrak penyelesaian tunai dalam denominasi dolar US (USD), dengan harga penyelesaian akhir dikira berdasarkan harga penyelesaian penghantaran sekali sahaja Kontrak Hadapan Minyak Kacang Soya DCE menjelang hari dagangan ke-10 DCE pada bulan penghantaran.

BMD menjelaskan bahawa harga itu, kemudiannya diselaraskan bagi penukaran daripada Renminbi kepada USD, dan dibundarkan kepada US$0.25 yang terdekat.

“Melalui kontrak itu, pelarasan ini membolehkan peniaga antarabangsa dan pengeksport produk kacang soya fizikal ke China melindung nilai risiko harga mereka dengan berkesan,” kata bursa itu. .

Peserta pasaran boleh berdagang FSOY semasa sesi dagangan pagi dan petang (9 pagi-6 petang Isnin hingga Jumaat) serta sesi dagangan selepas waktu (T+1) (9 malam-11.30 pagi dari Isnin hingga Khamis).

Untuk maklumat lanjut mengenai kontrak FSOY, sila lawat https://bit.ly/fsoy – BERNAMA