Ingatkan Siti Nurhaliza menyanyi

Ingatkan Siti Nurhaliza menyanyi

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Teluk Intan: Uniknya Danial Irfan Abdullah kerana mempunyai suara merdu hingga ada yang menyangka dia wanita jika tidak melihat wajahnya ketika menyanyi.

Bakat nyanyian Danial Irfan, 17, mendapat perhatian selepas video pemuda itu menyanyikan lagu Kesilapanku Keegoanmu nyanyian asal biduanita Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Di ruangan komen, rata-ratanya kagum dengan bakat Danial Irfan hingga ada yang menyamakan suaranya seperti penyanyi nombor satu negara itu.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada enam beradik itu berkata, dia minat menyanyi sejak kecil namun mula membuat persembahan di depan orang ramai ketika berumur 10 tahun.

“Pertama kali saya menyanyi di khalayak ramai adalah di Uptown.

“Saya tak takut kerana sudah lama nak menyanyi dan daripada dulu, saya memang banyak menyanyi lagu Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Ara Johari.

“Lagu penyanyi lelaki pun ada nyanyi, cuma lazimnya memang menyanyi lagu wanita bernada tinggi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, disebabkan minat, dia tidak malu menyanyi di depan khalayak ramai.

Lantaran itu, Danial Irfan berani menyertai pertandingan malah pernah mewakili sekolah termasuk dalam kejohanan nyanyian lagu patriotik.

“Sejak dulu lagi, emak dan ayah beri galakan untuk saya terus menyanyi.

“Tapi segelintir orang tak boleh terima kerana ingat saya sengaja lembutkan suara. Hakikatnya, suara saya memang begitu dan walaupun kedengaran macam perempuan, perwatakan saya masih lelaki.

“Cuma bila di kenduri kahwin, ada kalanya orang tak sedar siapa yang menyanyi sehingga tercari-cari siapa penyanyinya. Ada yang tak sangka saya penyanyinya kerana ingatkan suara wanita,” katanya.

Danial Irfan berkata, dia tidak kisah apa pun tanggapan orang kerana menganggap bakatnya itu sebagai kurniaan Allah SWT.

“Saya terima apa pun pandangan orang, baik positif mahupun negatif kerana tak akan patahkan semangat saya untuk terus menyanyi.

“Terima kasih kepada yang menyokong dan saya berharap ada peluang tonjolkan bakat sebagai penyanyi pada masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top