Jasa dan karya Cik Man akan terus diingati – Fahmi

Jasa dan karya Cik Man akan terus diingati – Fahmi

latifah@bh.com.my

Kuala Lumpur: “Terima kasih Farouk/Cik Man kerana mewarnai dunia seni dan mencipta begitu banyak kenangan indah buat generasi demi generasi.”

Penghargaan itu dikongsi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil buat pelakon veteran, Kamarozaman Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man yang meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, hari ini.

Fahmi berkata, Allahyarham Kamarozaman bukan hanya anak seni yang amat disegani dalam dunia lakonan, malah industri hiburan keseluruhan.

Katanya, beliau juga adalah legenda yang meninggalkan kesan besar dalam dunia perfileman menerusi watak dimainkan yang kekal diingati sehingga hari ini.

“Hari ini kita menerima khabar duka… Kamarool Haji Yusoff (nama pentas) yang turut dikenali ramai sebagai Cik Man menerusi lakonan ikoniknya dalam Rock Ooo!, telah kembali ke rahmatullah.

“Peminat filem Melayu khususnya era 80-an, pasti tidak dapat melupakan watak Farouk menerusi Gila-Gila Remaja. Lakonan Allahyarham begitu berkesan hingga nama watak itu terus melekat di hati peminat.

“Jasa, sumbangan dan karyamu akan terus hidup dalam ingatan kami,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kamarozaman dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat masalah jantung tersumbat, pada 5.15 petang tadi.

Berita pemergian Allahyarham disahkan anak bongsunya, Fakhrol Aliff.

Dalam hantaran sama, Fahmi turut menitipkan doa supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan yang beriman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top