nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rakan sebilik dengan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa sepanjang ingatannya, dia tidak pernah melihat arwah mempunyai sebarang konflik dengan pelajar lain di sekolah.
Peguam mewakili ibu arwah diketuai Shahlan Jufri berkata, saksi yang juga kanak-kanak ke-17 itu menyatakan bahawa dia adalah rakan sebilik Zara Qairina dan hanya mengenalinya sebagai rakan biasa, bukan secara rapat.
Menurut saksi, dia tidak pernah melihat Zara Qairina menjerit, menangis, dimarahi atau diganggu oleh sesiapa selain daripada malam 15 Julai lalu.
“Saksi mengatakan Zara seorang yang ceria, menghormati senior dan tidak pernah nampak Zara sedih dan murung.
“Dia mengesahkan Zara bercita-cita ingin menjadi BADAR dan mengatakan Zara mengidolakan salah seorang pelajar senior yang merupakan seorang BADAR,” katanya.
Menurut Shahlan, pada 15 Julai, sekitar jam 9 malam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa selepas kelas mengulang kaji pelajaran, dia kembali ke asrama bersama pelajar lain dan kemudian turun mencuci pakaian di tandas sebelum masuk ke bilik kira-kira jam 10 malam.
Kata saksi, sebelum tidur, dia melihat Zara Qairina berada di dalam bilik dan sedang duduk di hadapan almarinya.
“Saksi berkata, dia tidak perasan apa yang dilakukan Zara dan hanya nampak dia duduk sahaja,” katanya.
Dalam keterangan itu juga, Shahlan berkata, saksi memberitahu mahkamah bahawa dia pernah membaca diari berwarna hijau gelap milik Zara Qairina.
“Zara pernah benarkan saksi membaca diari itu dan saksi ingat ada membaca tulisan luahan Zara mengenai seorang kawannya.
“Saksi juga mengesahkan mengetahui terdapat beberapa pelajar pernah membuat ‘barcode’ di sekolah,” katanya.
Prosiding inkues akan bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




