ROME: Juara Serie A, Inter Milan menamakan Simone Inzaghi sebagai jurulatih baharu selepas Antonio Conte meninggalkan kelab berkenaan.
Bekas jurulatih Lazio dan pemain antarabangsa Itali berusia 45 tahun itu menandatangani kontrak dua tahun di San Siro.
Inzaghi, adik kepada bekas penyerang Juventus dan AC Milan, Filippo, meninggalkan Lazio minggu lalu selepas lima tahun bersama kelab berkenaan dengan misi mahu mencari cabaran baharu memimpin Inter.
Conte meninggalkan pasukan itu bulan lalu walaupun mempunyai baki kontrak setahun selepas tidak setuju dengan pemotongan bajet pasukan oleh pemilik dari China.
Bekas pemain Juventus itu menolak perancangan Suning untuk mengurangkan bajet sekali gus menghalangnya untuk membentuk pasukan lebih mantap bagi berdepan cabaran Serie A dan Liga Juara-Juara.
Conte berjaya membawa Inter meraih kejuaraan liga kali ke-19 dan yang pertama sejak Jose Mourinho memenangi kejuaraan treble pada 2010.- AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




