Iran dakwa musnahkan 10 Radar AS di Teluk

Iran dakwa musnahkan 10 Radar AS di Teluk

TEHERAN – Iran mendakwa telah memusnahkan 10 sistem radar canggih milik Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk Parsi, sambil menegaskan bahawa Teheran, bukannya Washington, akan menentukan bila perang semasa berakhir.

Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigedier Jeneral Ali Mohammad Naeini berkata perkara itu pada Selasa, iaitu kira-kira 10 hari selepas gabungan tentera AS dan Israel melancarkan serangan terhadap republik Islam tersebut.

Menurutnya, sistem pertahanan udara Iran turut memusnahkan sejumlah dron mahal milik AS di rantau berkenaan.

“Kami tahu bekalan peluru kamu semakin berkurangan dan kamu sedang mencari jalan keluar daripada perang ini untuk menyelamatkan maruah.

“Mengapa tidak berterus terang kepada rakyat Amerika?” katanya, merujuk kepada pihak berkuasa AS.

Naeini turut mendakwa infrastruktur ketenteraan AS di rantau Teluk Parsi telah ‘dihapuskan’, termasuk hampir 10 sistem radar canggih milik negara itu.

Beliau menambah bahawa Presiden AS, Donald Trump, kini berada dalam keadaan keliru dan kecewa susulan beberapa gelombang serangan balas Iran menerusi Operasi Janji Benar 4 yang dilancarkan unit tentera laut dan aeroangkasa IRGC.

Menurutnya, Iran masih mempunyai keupayaan besar untuk memperluaskan konflik sekiranya perlu.

“Keselamatan akan dirasai semua pihak, dan ketidakamanan juga akan dirasai semua pihak. Kami yang menentukan pengakhiran perang ini,” tegasnya.

Beliau turut menuduh Trump cuba mengelirukan pendapat awam selepas apa yang disifatkannya sebagai ‘kekalahan memalukan’ dalam konflik tersebut, termasuk dakwaan bahawa keupayaan ketenteraan Iran semakin lemah.

Sebaliknya, kata Naeini, Iran kini lebih kuat berbanding peringkat awal perang dan terus menyasarkan pangkalan AS serta Israel menggunakan kepala peledak seberat lebih satu tan.

Serangan balas Iran bermula pada 28 Februari, beberapa jam selepas AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran yang didakwa mengorbankan bekas Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, serta beberapa komander kanan tentera.

Sejak itu, Iran mendakwa serangan balasnya berjaya menyasarkan beberapa lokasi di wilayah yang diduduki Israel serta pangkalan tentera AS di beberapa negara jiran Iran.-Agensi

Ringkasan AI

  • Iran mendakwa telah memusnahkan 10 sistem radar canggih milik AS di Teluk Parsi
  • Jurucakap IRGC mengatakan serangan terhadap AS dan Israel bermula 10 hari selepas mereka melancarkan serangan ke atas Iran
  • Sistem pertahanan udara Iran juga memusnahkan sejumlah dron milik AS
  • Naeini mendakwa infrastruktur ketenteraan AS di Teluk Parsi telah dihapuskan dan menyebut Trump keliru dan kecewa
  • Iran mengaku lebih kuat dan terus menyasarkan pangkalan AS serta Israel
Scroll to Top