Iran didakwa guna teknologi satelit China sasar pangkalan tentera AS

Iran didakwa guna teknologi satelit China sasar pangkalan tentera AS

WASHINGTON – Satu laporan siasatan oleh Financial Times mendakwa Iran menggunakan teknologi satelit dari China bagi membantu menyasarkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat.

Menurut laporan itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dipercayai memperoleh sebuah satelit buatan China pada akhir 2024, yang dilancarkan ke orbit oleh syarikat berpangkalan di China, Earth Eye Co, yang menawarkan sistem penghantaran satelit di orbit.

FT memaklumkan bahawa dakwaan tersebut berdasarkan ‘dokumen ketenteraan Iran yang bocor’, yang turut menunjukkan IRGC diberikan akses kepada stesen darat komersial yang dikendalikan oleh Emposat, penyedia perkhidmatan kawalan dan data satelit yang berpangkalan di Beijing.

Bagaimanapun, Kedutaan China di Washington menafikan sebarang penglibatan kerajaan China dalam perkara itu.

“Kami dengan tegas menentang penyebaran maklumat bersifat spekulatif dan berunsur fitnah terhadap China,” menurut kenyataan kedutaan tersebut.

Laporan FT turut mendakwa data daripada satelit berkenaan memberikan imej beresolusi tinggi yang jauh lebih baik berbanding kemampuan satelit milik Iran sendiri, sekali gus membantu Teheran meninjau atau menyasarkan kemudahan tentera AS di beberapa negara termasuk Arab Saudi, Bahrain, Iraq, Kuwait, Jordan, Oman dan Djibouti.

Sementara itu, CNN melaporkan bahawa pihaknya telah menghubungi Earth Eye dan Emposat untuk mendapatkan maklum balas, namun kedua-dua syarikat berkenaan tidak memberikan sebarang respons.

Isu tersebut dijangka mencetuskan kontroversi, terutama ketika Donald Trump dilaporkan bersedia untuk bertemu Presiden China, Xi Jinping di Beijing bulan depan.

Dalam perkembangan berkaitan, CNN turut melaporkan bahawa risikan AS menunjukkan China sedang bersedia untuk membekalkan sistem pertahanan udara baharu kepada Iran dalam tempoh beberapa minggu akan datang, menurut sumber yang mengetahui penilaian risikan terkini.

Mengulas perkara itu, Trump memberi amaran bahawa China bakal berdepan akibat sekiranya menghantar senjata ke Iran.

“Jika China berbuat demikian, China akan berdepan masalah besar,” katanya.

Namun, jurucakap Kedutaan China di Washington menegaskan bahawa negara itu tidak pernah membekalkan senjata kepada mana-mana pihak dalam konflik berkenaan dan menyifatkan maklumat tersebut sebagai tidak benar. – Agensi

Scroll to Top