TEHRAN: Skuad kebangsaan Iran akan berlepas ke Turki esok bagi menjalani kem latihan pusat, aksi persahabatan serta melengkapkan urusan visa sebelum beraksi pada kejohanan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS).
Ketua jurulatih Iran, Amir Ghalenoei berkata, pasukannya akan berkampung di Antalya, lokasi yang sama digunakan mereka untuk latihan dan aksi persahabatan pada Mac lalu.
Menurutnya, seramai 30 pemain dipanggil menyertai kem latihan tersebut sebelum senarai akhir dikecilkan kepada 26 pemain mengikut syarat kejohanan.
“Memilih 30 pemain bagi kem latihan terakhir menjelang Piala Dunia adalah keputusan teknikal paling sukar sepanjang karier kejurulatihan saya.
“Pemilihan dibuat sepenuhnya berdasarkan kriteria teknikal,” katanya.
Antara pemain tumpuan ialah bekas penyerang Porto, Mehdi Taremi yang kini menyarung jersi Olympiacos.
Iran dijangka mengharungi dua aksi persahabatan di Antalya dan setakat ini sudah mengesahkan perlawanan menentang Gambia pada 29 Mei.
Dalam perkembangan sama, isu visa turut menjadi perhatian memandangkan Iran dan AS telah memutuskan hubungan diplomatik sejak 1980.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj berkata, sehingga kini pemain masih belum menerima visa untuk memasuki negara Uncle Sam itu.
Katanya, pemain dijangka menjalani proses cap jari di Turki sebagai sebahagian daripada prosedur permohonan visa, namun mahu mengelakkan perjalanan jauh dari Antalya ke Ankara.
Taj turut dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino bagi mendapatkan jaminan berkaitan keselamatan dan urusan skuad Iran susulan ketegangan geopolitik semasa.
Delegasi Iran turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Turkiye, Ibrahim Ethem Haciosmanoglu serta Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom di Istanbul, semalam.
Iran dijadual membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun sebelum bertemu Belgium (21 Jun) dan Mesir (26 Jun). – AFP




