London: Chelsea dilaporkan mencapai persetujuan dengan bekas pengendali Real Madrid dan Bayer Leverkusen, Xabi Alonso, untuk menjadi pengurus baharu kelab itu.
Menurut laporan Sky Sports, Alonso bersetuju menandatangani kontrak selama empat tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan.
Chelsea sedang mencari pengendali tetap sejak memecat Liam Rosenior pada April lalu selepas hanya tiga bulan memegang jawatan itu.
Bekas pemain tengah Sepanyol berusia 44 tahun itu mencipta nama sebagai pengurus apabila membantu Leverkusen meraih kejuaraan Bundesliga dan piala domestik pada musim 2023-24.
Namun, beliau dipecat oleh Real Madrid kurang lapan bulan selepas mengambil alih kelab gergasi Sepanyol itu pada Januari lalu.
Jika pelantikan itu dimuktamadkan, Alonso akan menjadi pengurus tetap kelima dilantik pemilik Chelsea, BlueCo, selepas Graham Potter, Mauricio Pochettino, Enzo Maresca dan Rosenior.
Chelsea turut menerima tamparan apabila tewas 1-0 kepada Manchester City dalam final Piala FA malam tadi.
Kelab London itu kini menghuni tangga kesembilan liga dan masih bergelut untuk melayakkan diri ke kejohanan Eropah musim depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




