Kuala Lumpur : Pemaju dan pengendali infrastruktur logistik pintar terkemuka dari Taiwan, Ally Logistic Property (ALP), mengumumkan pelaburan bernilai kira-kira RM500 juta bagi membangunkan OMEGA 2 Shah Alam.
Projek di atas tanah seluas sembilan ekar di selatan Shah Alam, Selangor itu adalah kemudahan rantai sejuk pintar binaan khas pertama syarikat berkenaan di Malaysia, sekali gus menjadi projek OMEGA kedua mereka di Lembah Klang.
Kemudahan berbilang tingkat ini disasarkan siap pada suku kedua (S2) 2028 dan akan dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (AS/RS) yang menyediakan lebih 30,000 kedudukan palet dalam ruang binaan seluas 577,000 kaki persegi.
Menurut Pengarah Urusan ALP Malaysia, Bryan Yeo projek terbabit dibina bagi menangani jurang pasaran infrastruktur rantai sejuk negara yang ketika ini masih terhad dari segi automasi, kebolehskalaan dan kecekapan tenaga.
Katanya, sebagai hab logistik pelbagai suhu, kemudahan ini akan menyepadukan zon penyimpanan ambien, berhawa dingin, sejuk dan beku demi menyokong kepesatan industri sensitif suhu di Malaysia.
“Logistik rantai sejuk menjadi semakin penting merentasi sektor seperti pengedaran makanan, farmaseutikal, peruncitan dan e-dagang.
“OMEGA 2 Shah Alam direka untuk menangani jurang ini melalui penyelesaian yang lebih pintar dan mampan. Kami percaya infrastruktur termaju ini dapat menyokong aspirasi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan berpacukan teknologi,” katanya.
Menariknya, OMEGA 2 Shah Alam menggunakan model pelbagai penyewa yang membolehkan pelbagai rantaian bekalan berkongsi ekosistem infrastruktur sama bagi mengurangkan pertindihan aset serta menjimatkan tenaga.
Menerusi sistem AS/RS berketumpatan tinggi dan pengurusan tenaga pintar, projek ini direka untuk mengoptimumkan sumber berbanding gudang sejuk konvensional, sekali gus selaras dengan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid memuji komitmen ALP Malaysia yang membawa pelaburan bernilai tinggi ini.
“Sebagai kemudahan rantai sejuk AS/RS berbilang tingkat pertama binaan pemaju di Malaysia, OMEGA 2 Shah Alam mencerminkan pelaburan berpacukan teknologi yang diimpikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan NIMP 2030,” katanya.
Sokongan padu turut dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari yang menyifatkan pelaburan ALP ini bertepatan dengan visi Selangor untuk menjadi hab utama bagi industri bernilai tinggi dan bersedia mendepani masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




