
IRGC memberi amaran kepada AS bahawa sebarang “silap langkah” di Selat Hormuz akan memerangkap musuhnya dalam “pusaran maut”.
TEHERAN – Markas Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Ahad memberi amaran bahawa sebarang “silap langkah” di Selat Hormuz akan memerangkap musuhnya dalam “pusaran maut”, menurut saluran berita Sepah News yang bergabung dengan IRGC, lapor Xinhua.
Markas Tentera Laut itu menyatakan bahawa dron Iran sedang memantau selat berkenaan secara masa nyata dan menambah bahawa semua pergerakan di kawasan itu berada di bawah “kawalan penuh” angkatan tentera Iran.
Kenyataan itu dibuat sejurus selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata, Tentera Laut AS akan mula menyekat kapal yang cuba memasuki atau keluar dari Selat Hormuz, menurut hantaran di platform Truth Social miliknya. Trump berkata, langkah itu akan berkuat kuasa “serta-merta”.
Menurut Trump, Tentera Laut Amerika Syarikat akan memulakan proses menyekat semua kapal yang cuba memasuki atau keluar dari selat tersebut, sambil menyifatkan angkatan laut negaranya sebagai ‘yang terbaik di dunia’.
Trump turut mengarahkan tenteranya untuk memintas mana-mana kapal di perairan antarabangsa yang didakwa telah membayar tol kepada Iran, sambil memberi amaran bahawa tiada kapal sedemikian akan dibenarkan melalui dengan selamat.
“Saya juga telah memberi arahan kepada Tentera Laut kita untuk mengesan dan menyekat setiap kapal di Perairan Antarabangsa yang telah membayar tol kepada Iran,” jelasnya.
Selain itu, beliau menyatakan tentera laut akan memusnahkan periuk api yang didakwa dipasang oleh Iran di selat berkenaan, dan memberi amaran keras akan membalas serangan oleh pihak Iran dengan tindakan ketenteraan tegas. – Bernama.



