suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Motif cemburu dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Myanmar menikam mati bekas isterinya dalam kejadian di Genting Court Condominium, Setapak, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejadian itu disahkan berlaku kira-kira pada jam 2.20 petang.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat melalui panggilan orang awam yang memaklumkan seorang wanita warga Myanmar ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian dipercayai akibat ditikam seorang lelaki.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar pada hari yang sama.
“Siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai disebabkan cemburu dan suspek ialah bekas suami mangsa.
“Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek sudah dibawa ke hadapan Majistret dan dibenarkan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil bedah siasatan yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 9 pagi hari ini, mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman di bahagian dada,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil berkata, pihaknya memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, profesional dan telus.
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pegawai Penyiasat ASP G. Baldev Singh di 012-480 6062 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



