Norish Karman nafi beri alasan sakit demi meraih simpati

Norish Karman nafi beri alasan sakit demi meraih simpati

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Norish Karman, 52, menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan segelintir netizen yang melabel keluarganya sebagai penipu dan menggunakan alasan sakit demi meraih simpati orang ramai.

Menjawab dakwaan kononnya dia sengaja bersolek ketika sesi siaran langsung bersama usahawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri baru-baru ini.

“Kalau dia fikir saya sakit, itu dah cukup bagus. Ada yang kata saya pura-pura pakai solekan, hitamkan bawah mata. Hakikatnya, semasa sesi siaran langsung pertama dan kedua bersama Datuk Aliff, saya memang tidak pakai solekan.

“Hari pertama balik dari hospital, saya hanya capai jubah dan tudung yang tidak bergosok. Kebetulan kami pergi beraya dan Datuk Aliff dengan baik hati ajak buat sesi siaran langsung untuk sama-sama menjana pendapatan.

“Beliau tanya bagaimana mahu bantu, saya kata jangan bantu, sebaliknya beri saya pekerjaan,” katanya dipetik daripada temuramah dalam program Melodi terbitan TV3 yang disiarkan malam tadi.

Norish menegaskan bahawa kehadiran mereka ke kediaman usahawan tersebut hanyalah untuk kunjungan hari raya dan tidak menyangka akan terlibat dalam sesi jualan produk secara langsung.

Sementara itu, anak perempuannya, Nur Hanyz Amanda, 22, turut menafikan dakwaan netizen yang menuduh tangisannya dalam sesi siaran langsung itu sebagai sebuah tindakan yang berpura-pura.

Mengulas mengenai kritikan orang ramai berhubung tindakannya mendapatkan rawatan di hospital swasta yang dianggap mahal, Norish mendedahkan urusan perubatan itu diuruskan sepenuhnya oleh anaknya atas bantuan pihak penaja.

“Kenapa hendak sibuk? Maknanya ada penaja daripada Singapura dan seorang penerbit di Kuala Lumpur yang begitu baik, mulia hatinya, menggesa saya mendapatkan rawatan terbaik. Jadi, saya buatlah.

“Ketika itu (dimasukkan ke hospital), saya tidak sedar. Ini semua kerja Amanda (anak). Tahu-tahu, saya berada di katil hospital. Anak saya yang uruskan semuanya dengan arahan daripada orang-orang Singapura dan seorang dari Kuala Lumpur.

“Mereka suruh anak saya beri rawatan yang terbaik kepada saya. Macam itulah kaedahnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Norish turut meminta mana-mana individu yang berhutang dengannya agar tampil ke hadapan daripada terus melemparkan fitnah di media sosial.

“Sesiapa rasa saya berhutang, sila tampil ke depan. Tidak perlu jatuhkan saya. Tidak mungkin manusia boleh jatuhkan manusia lain. Allah sahaja yang boleh. Kami mahu bekerja, kami ada harga diri dan ada kudrat.

“Saya mohon berhentilah maki hamun terhadap anak-anak saya. Saya sudah 32 tahun menjadi artis, orang maki okay sahaja. Tidak perlu ungkit cerita lama. Bosanlah. Sudah basi.

“Hari ini saya berikrar mengampunkan semua kata-kata kesat. Bagaimana Allah selalu maafkan kita, carilah keredhaan Allah dan perlahan-lahan perbaiki diri kita,” kongsinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top