Remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella yang didakwa didera sudah semakin pulih dan berkeyakinan tinggi untuk bergaul dengan rakan-rakan di sekelilingnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan tersebut diperhatikan beliau ketika melawat remaja berusia 13 tahun itu di sebuah rumah di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban.
“Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuat intervensi dengan menyelamatkan Bella dengan membawa keluar dari rumah jagaan dulu.
Rumah jagaan baru di Seremban telah menjaga Bella dengan baik. Hari ini saya bertemu Bella, Bella sudah pulih seperti sediakala…
“…berkeyakinan tinggi untuk bergaul dengan rakan-rakan. Terima kasih kepada kakitangan pusat jagaan di Seremban ini,” katanya menerusi satu posting di laman Facebook.

Kredit foto; BH Online
Sementara itu, Ismail juga memaklumkan Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi golongan rentan seoertu kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas.
“Bukan sahaja isu penderaan tetapi juga isu anak yatim yang dihantar ke rumah anak yatim tidak mempunyai dokumen seperti sijil kelahiran dan lain-lain.
“Banyak pusat-pusat jagaan yang tidak didaftarkan dan menyukarkan pemantauan.
“Kerajaan akan melihat secara menyeluruh seperti pendaftaran pusat jagaan, mempermudahkan pendaftaran dan pindaan akta lapuk mengeluarkan sijil kelahiran malah termasuk penstrukturan semula JKM,” ujarnya.
Sebelum ini, Bella diselamatkan dari sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur.
Sumber: Facebook Ismail Sabri




