Israel terus cabuli gencatan senjata, 13 maut termasuk 5 kanak-kanak

Israel terus cabuli gencatan senjata, 13 maut termasuk 5 kanak-kanak

Bandar Gaza: Agensi pertahanan awam Gaza menyatakan serangan Israel di wilayah Palestin pada Khamis membunuh sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk lima kanak-kanak, walaupun gencatan senjata sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran.

Empat individu termasuk tiga kanak-kanak maut apabila dron menghentam khemah yang menempatkan pelarian di selatan Gaza, kata jurucakap agensi, Mahmud Bassal kepada AFP.

Di utara Semenanjung Gaza, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terbunuh berhampiran kem pelarian Jabalia dan serangan ke atas sebuah sekolah meragut nyawa seorang individu, manakala dron berhampiran Khan Younis di selatan membunuh seorang lelaki, tambah agensi itu.

Dua lagi penduduk Gaza, termasuk seorang kanak-kanak, terkorban dalam serangan lain, lapor agensi yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas itu.

Apabila ditanya oleh AFP, tentera Israel memaklumkan mereka sedang menyemak laporan berkenaan.

Lewat petang Khamis, empat lagi mangsa terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan timur Bandar Gaza, kata Bassal, sambil menambah usaha menyelamat bagi mencari beberapa individu yang hilang sudah bermula.

“Angka kematian meningkat kepada 13 orang akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak pagi ini dalam satu pelanggaran jelas terhadap perjanjian gencatan senjata,” tegas Bassal.

Awal hari Khamis, tentera Israel mendakwa satu peluncur dilancarkan “dari kawasan Bandar Gaza menuju ke Israel” namun ia jatuh di dalam Semenanjung Gaza.

“Tidak lama kemudian, pihak (tentera) menyerang titik pelancaran itu dengan tepat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak 10 Oktober, gencatan senjata rapuh tajaan Amerika Syarikat (AS) di Gaza sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran antara tentera Israel dan Hamas, namun kedua-dua pihak sering mendakwa berlaku pelanggaran gencatan senjata.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem memberitahu AFP bahawa serangan di Gaza pada Khamis “mengesahkan penolakan tentera penceroboh Israel terhadap komitmen mereka pada gencatan senjata”.

Tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 425 rakyat Palestin di Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh pada 22 November dalam serangan Israel, menjadikannya salah satu hari paling berdarah di Gaza sejak gencatan senjata bermula.

Tentera Israel mendakwa tiga askar mereka terbunuh dalam tempoh sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top