ISTAF terima kembali PSM

ISTAF terima kembali PSM

Abdul Halim. – Foto Bernama

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) diterima semula sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) berkuat kuasa 15 Julai lalu.

Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader optimis, ‘kepulangan’ PSM ke pangkuan ISTAF akan melonjakkan lagi sukan takraw negara di persada dunia.

“Perbincangan untuk membawa PSM kembali adalah begitu genting sekali kerana adalah menjadi harapan saya semoga kita dapat bekerjasama dan dapat merapatkan lagi silaturahim antara rakan-rakan anggota majlis tertinggi PSM bersama ISTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

“Penerimaan kembali PSM ke ISTAF tidak ada apa-apa syarat yang dikenakan tetapi kesemua badan-badan yang menjadi anggota ISTAF dibawa masuk harus mengikut undang-undang perlembagaan ISTAF, itu sahaja yang harus dipatuhi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat.